Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Lebih baik Tun Daim Zainuddin diam jika tidak mahu kesilapan sendiri dan jangan pula cuba memalitkan UMNO dan tunding jari kepada pihak lain.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas kenyataan Daim bertanya, siapa sebenarnya yang tidak berada dalam dunia realiti dan masih beranggapan mempunyai kuasa yang dapat menentukan apa-apa mengenai negara berdasarkan kehendak peribadi.

Sehingga ada yang suka-suka meletak jawatan sebagai Perdana Menteri (PM) yang kemudian mencalonkan diri sendiri juga sebagai PM berikutnya.

“Bukankah itu kroni Daim sendiri?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang mesra disapa dengan panggilan Ku Nan berkata, barangkali Daim juga tidak mengetahui apa makna ditolak oleh rakyat sehingga begitu mudah bercakap tanpa melihat kepada fakta.

“Kalau penolakan hendak diukur dengan pilihan raya, Daim seharusnya melihat kepada siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan sebelum ini.

”Ya, barangkali Daim lupa Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kroninya telah tewas dalam beberapa siri pilihan raya kecil kepada BN yang diterajui UMNO.

”Barisan Nasional berdepan DAP berjaya mempertahankan Cameron Highlands, Barisan Nasional berdepan calon PPBM (Parti pribumi Bersatu Malaysia) berjaya merampas kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Semenyih, Barisan Nasional ditentang PKR tetap mengekalkan Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan) Rantau malah dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini pun UMNO masih ada, bertanding dan menang yang bermakna UMNO tidak ditolak,” kata Bendahari UMNO itu lagi.

Daim dalam wawancara dengan sebuah portal berkata, UMNO tidak lagi mampu menarik sokongan majoriti rakyat kerana sarat dengan warlord (panglima perang) yang beranggapan mereka masih menerajui negara.

Selain itu, ramai pemimpin UMNO ‘tidak belajar dari sejarah’ dan gagal menawarkan sebarang kepimpinan bermakna untuk kebaikan rakyat.

Malah, Daim juga menolak keyakinan dalam kalangan pucuk pimpinan UMNO bahawa parti itu mampu memenangi pilihan raya umum jika diadakan sekarang.

Ku Nan berkata, beliau tersenyum sendiri membaca kecaman Daim terhadap UMNO.

”Inilah padahnya, bercakap tak ukur baju di badan, tak lihat muka di cermin maka berkata hanya untuk menampakkan kedangkalan dan betapa ‘tak bijaknya’ pemikiran beliau,” ujarnya.

Menurutnya, UMNO juga tidak lupa bahkan tetap ingat siapa sebenarnya yang benar-benar mahu meneruskan perjuangan parti dan berkhidmat untuk rakyat atau siapa yang hanya mahu menjadikan UMNO sebagai batu loncatan bagi memuaskan kepentingan sendiri.

“Rakyat sudah melihat dan UMNO juga sudah belajar dari pengalaman dan PRU-14 lalu sudah cukup untuk dijadikan bukti mana individu yang setia dan berkhidmat demi agama, bangsa dan negara.

”UMNO akui… BN hilang majoriti sokongan dan UMNO juga terpalit malah lebih perit apabila ada yang melompat atau ‘ditarik’ oleh PH dengan pelbagai ugutan, tawaran dan macam-macam lagi.

”Mana yang melompat… tak apalah, pergilah kerana UMNO ini parti akar umbi dan teruskan perjuangan bukan kerana kuasa, pangkat dan kedudukan.

”Lebih teruk, UMNO disabitkan pula dengan macam-macam tuduhan yang tak masuk akal… ditekan dari segi perundangan… pun tak apalah, akar umbi UMNO ada dan rakyat tidak berhenti menilai,” katanya.

Mengulas kenyataan Daim bahawa UMNO sekarang terlibat dalam pertengkaran dengan PPBM kerana menganggap mereka parti paling kuat dan boleh menang PRU, Ku Nan berkata, kalau ikut logik siapa sanggup dibuli.

”Siapa sanggup ditipu berkali-kali? Siapa sanggup dijadikan bahan mainan politik dan dipergunakan untuk kepentingan sendiri?

”UMNO tak cari gaduh… UMNO tak mahu bertengkar dengan sesiapa apatah lagi yang sebangsa dan seagama namun UMNO pertahankan hak dan kepentingannya sendiri malah menteri UMNO yang ada dalam pemerintahan PN hari ini pun bukan penumpang sebaliknya adalah layak atas keupayaan sokongan dan dokongan yang telah diberikan.

”UMNO bukan gila kuasa, bukan haloba mahukan pangkat dan jawatan sebagaimana sokongan dibuat mengangkat PM yang bukan dari UMNO tapi UMNO sedar bahawa nasib rakyat hanya akan dapat dibela dengan adanya kuasa.,” tegasnya.

Memandangkan UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan PN maka UMNO juga berhak bersuara apatah lagi hal-hal yang disuarakan adalah berkaitan dengan kepentingan rakyat.

Secara sinis, Ku Nan berkata, barangkali Daim sengaja membutakan mata, memekakkan telinga daripada melihat dan mendengar hal berkaitan rakyat tapi perkara seperti itu tidak berlaku pada UMNO.

Khidmat UMNO setiap masa, tanpa kuasa, tanpa jawatan, malah sebelum ini ketika menjadi pembangkang pun UMNO tetap berusaha membantu rakyat, katanya.

Jelas Ku Nan, UMNO tidak mengadakan reformasi, tidak buat perhimpunan haram, tidak rosakkan harta benda awam sebaliknya UMNO kekal teguh percaya pada prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

”Pada Daim… jika tidak mahu mengakui kesilapan sendiri pun janganlah cuba palitkan UMNO dan tuding jari kepada pihak lain. Cukup-cukuplah bersalutkan nista kebencian dengan melindungi kebatilan, jika tidak pun Daim baik diam!,” katanya. – MalaysiaGazette