Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi akan membantu pemulihan ekonomi, kata Menteri  Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya percaya dengan membuka lebih banyak sektor ekonomi, ini akan membantu memastikan sasaran pemulihan ekonomi dicapai,” ciap menteri kanan itu menerusi Twitter hari ini

Dalam masa yang sama, sebagai usaha merancakkan bidang perniagaan, beliau menyarankan pengusaha menggunakan teknologi dan memanfaatkan kecanggihan dunia digital.

Mohamed Azmin berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan terus memberi sokongan kepada para pengusaha untuk bergerak maju dalam bidang tersebut khususnya untuk meningkatkan produktiviti.

Jelas beliau, produktiviti yang dihasilkan para pengusaha akhirnya akan memberi peluang kepada penjanaan ekonomi negara.

“Perniagaan juga harus berkembang mengikuti era digitalisasi. Perkembangan ini perlu jalan seiring dari pengusaha industri kecil dan sederhana termasuk mikro,” katanya menerusi Twitter.

Bermula 10 Febuari lalu, kerajaan telah membenarkan keseluruhan baki perniagaan dalam sektor peruncitan kembali beroperasi.

Keputusan ini dibuat bagi memastikan kelangsungan ekonomi peniaga kecil.

Antara baki sektor peruncitan yang dibenarkan kembali beroperasi termasuklah kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kasut, barangan dan perkhidmatan fotografi, barangan terpakai, kedai bunga atau nurseri, kraftangan dan cenderahati serta kedai antik.

Selain itu, kedai alat permainan, permaidani, kedai kandungan kreatif atau peralatan industri kreatif, barangan aktiviti luar, peralatan sukan, barangan rumah dan peralatan dapur, kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, kedai tembakau, aksesori kenderaan dan Ar-Rahnu.-MalaysiaGazette