Chang Lih Kang

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa  cuba memanipulasi angka Covid-19 bagi memberi gambaran kurang tepat kepada rakyat.

Malah Menteri Kesihatan turut didakwa tidak ikhlas dan cuba memesongkan rakyat dalam perkara yang sama.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang dalam kenyataan hari ini memetik kenyataan Menteri Kesihatan yang memaklumkan gelombang ketiga Covid-19 telah menurun dan terkawal.

Datuk Seri Dr. Adham Baba juga didakwa menyatakan penurunan jumlah kes positif merupakan kejayaan pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada hakikatnya, kata Lih Kang, jumlah kes positif menurun bukan disebabkan pandemik itu sudah terkawal tetapi jumlah ujian Covid-19 atau individu disampel telah mencatatkan penurunan secara drastik.

“Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan dalam sidang media pada 4 Februari lalu yang keupayaan makmal awam dan swasta menjalankan saringan Covid-19 adalah sebanyak 76,805 ujian sehari namun jumlah ujian yang dijalankan atas individu semakin hari semakin berkurangan.

“Pada 3 hingga 5 Februari lalu, jumlah saringan harian yang dijalankan melebihi 60,000 ujian dan pada 8 Februari lalu, jumlah saringan telah dikurangkan secara drastik kepada 32,536 ujian.

“Semalam, jumlah saringan individu dikurangkan lagi kepada angka yang antara paling rendah iaitu sebanyak 23,791 sahaja. Justeru, penurunan jumlah kes positif diakibatkan oleh jumlah saringan yang semakin kecil bukan kerana pandemik sudah terkawal,” kata Lih Kang.

Tambah Ahli Parlimen PKR Tanjung Malim itu, piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan pandemik Covid-19 dianggap terkawal sekiranya kadar positif daripada jumlah saringan itu kurang daripada lima peratus.

Justeru katanya, jika kadar positif melebihi 10 peratus maka pandemik dikategorikan sebagai di luar kawalan.

Menurut Lih Kang, dalam tempoh tiga hari yang lepas, kadar positif dalam negara berlegar sekitar 10 peratus iaitu 11.94 peratus pada 13 Februari lalu, diikuti 10.15 peratus pada hari Ahad serta 9.15 peratus pada Isnin.

“Angka-angka ini menunjukkan pandemik Covid-19 di negara kita jauh daripada terkawal dan sejak wabak ini dikesan di negara kita, 975 nyawa telah diragut dan kita belum melihat di mana kesudahannya.

“Namun, Menteri Kesihatan sanggup memberi gambaran yang terpesong demi kepentingan politik sendiri.

“Saya mendesak PN menghentikan permainanan politik seperti ini untuk menipu rakyat. Kerajaan harus memastikan menteri dan kedua-dua timbalannya letak jawatan atas kekhilafan ini supaya kementerian yang lain tidak akan mengulangi perbuatan ini,” tegas beliau.-MalaysiaGazette