Gambar hiasan

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi lampu hijau kepada dua versi vaksin AstraZeneca/Oxford Covid-19 untuk kegunaan kecemasan.

Kebenaran ini memungkinkan vaksin ini dilancarkan secara global melalui COVAX.

Dua versi vaksin yang dihasilkan oleh AstraZeneca-SKBio di Korea Selatan dan Serum Institute of India, menunjukkan keberkesanan 63.09 peratus dan “sesuai untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana kerana keperluan penyimpanan yang lebih mudah, kata WHO.

Vaksin ini boleh digunakan melalui COVAX, inisiatif antarabangsa yang diketuai oleh WHO untuk akses vaksin Covid-19 secara adil, kata Dr Mariangela Simao, Penolong Ketua Pengarah WHO untuk Akses kepada Ubat dan Produk Kesihatan.

“Negara-negara yang tidak mendapat vaksin hingga kini akhirnya akan mula melakukan vaksinasi pekerja kesihatan mereka dan populasi yang berisiko.

“Tetapi kita harus terus menekankan untuk memenuhi keperluan utama penduduk di mana saja dan memudahkan akses global,” katanya.

Dan untuk tujuan ini, beliau memberi penekanan kepada dua keutamaan: peningkatan kapasiti pembuatan, dan penyerahan awal vaksin untuk kajian WHO.

Produk AstraZeneca adalah suntikan Covid-19 kedua yang telah mendapat kebenaran WHO, selepas vaksin Pfizer/ BioNTech pada akhir Disember lalu. – MalaysiaGazette