Mak Kah Keong. foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Dengan penyertaan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN), pengundi mula memberi perhatian kepada isu pengagihan kerusi yang ditandingi antara parti itu dengan rakan sekutu lain, khususnya MCA.

Keadaan itu berlaku terutamanya kerana MCA sebelum ini mengintai kerusi yang secara tradisinya ditandingi Gerakan semasa parti itu bersama Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong berkata, pihaknya belum berbincang soal kerusi dengan MCA.

Katanya, parti itu juga hanya akan berbincang mengenai soal kerusi secara dalaman dengan pemimpin peringkat negeri selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

“Kami akan berbincang dengan pemimpin negeri dan mengenal pasti calon serta strategi yang digunakan melalui mesyuarat virtual,” katanya kepada China Press.

Mengenai perbincangan dengan parti lain pula, Kah Keong berkata, selain MCA, Gerakan juga perlu berunding dengan parti komponen Perikatan Nasional yang lain.

“Disebabkan kami masih baharu dalam perikatan, masih terdapat banyak perkara yang perlu diteliti,” katanya.

Walau bagaimanapun, Kwong Wah Yit Poh melaporkan penganalisis politik tidak optimis dengan kemampuan Gerakan untuk menarik undi.

Dr. Oh Ei Sun berkata, keadaan Gerakan menjadi tidak cerah terutamanya kerana rakan sekutu mereka iaitu Bersatu sendiri berdepan kesukaran tertentu untuk memperoleh sokongan pengundi Melayu.

Katanya, sejak menjadi pembangkang, Gerakan menjadi tidak teratur dan berdepan masalah untuk menggerakkan ahlinya.

“Gerakan justeru berharap dapat meningkatkan daya mobilasi ahli dengan kembali ke kerajaan dan mendapat agihan dalam jawatan politik,” katanya.

Seorang lagi penganalisis, Lum Chih Feng berkata, Gerakan kini perlu berunding dengan penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bukan Muslim untuk membentuk satu pasukan kempeb bagi menghadapi pilihan raya akan datang. – Malaysia