Pfizer-BioNTech Covid-19 vaccine Muhyiddin Yassin National Covid-19 Immunisation Programme
Muhyiddin Yassin PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Kerajaan melahirkan keyakinan saluran khusus TV Pendidikan, DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan dapat membantu pelaksanaan modul Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, siaran TV Pendidikan secara terestrial juga penting kepada murid-murid yang tidak mempunyai akses kepada pembelajaran PdPR.

“Saya yakin bahawa DidikTV KPM akan dapat membantu pelaksanaan PdPR, khususnya bagi murid yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan secara dalam talian.

“Ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk menonton DidikTV KPM bersama-sama anak-anak,” katanya katanya selepas melancarkan Didik TV hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, saluran DidikTV KPM yang mula bersiaran pada hari ini akan menjadi platform untuk memperkasakan lagi budaya ilmu, menerapkan nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.

Jelas beliau lagi, pelaksanaan ini disebabkan bidang pendidikan merupakan antara sektor yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19.

Justeru itu, kerajaan mengambil inisiatif untuk terus menyediakan akses pendidikan kepada lebih lima juta murid bagi membolehkan mereka mendapat pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan dengan memperkenalkan Didik TV.

Kerajaan juga sedar murid-murid terdiri daripada pelbagai latar belakang, sama ada di kawasan bandar, luar bandar ataupun kawasan pedalaman.

“Oleh yang demikian, kita perlu terima hakikat bahawa pelaksanaan PdPR secara dalam talian masih belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam tempoh yang singkat. Ini kerana sebahagian besar murid tidak memiliki peranti sesuai dan juga faktor kekangan akses kepada internet,” jelas Muhyiddin lagi.

DidikTV KPM merupakan saluran khusus TV Pendidikan dengan pengisian dari jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah malam setiap hari di saluran NTV7. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saluran DidikTV ganti NTV7