Keadaan Sungai Perai berbuih akibat tercemar.

SEBERANG PERAI – Sebuah kilang berasaskan makanan yang menyebabkan pencemaran air serta punca ikan mati di Sungai Perai dikompaun sebanyak RM14,000.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan diambil selepas pihaknya menerima aduan berhubung keadaan Sungai Perai tercemar dengan buih putih.

Keadaan Sungai Perai berbuih akibat tercemar.

“Hasil siasatan mendapati pencemaran itu berpunca daripada proses pembuatan serta aktiviti cucian dari salah satu kilang berasaskan makanan di kawasan Perai.

“Susulan itu, kita mengenakan kompaun RM14,000 ke atas kilang tersebut di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga telah mengeluarkan arahan kepada kilang tersebut supaya semua pelepasan efluen ke Sungai Perai dihentikan serta merta.

Sisa dalam longkang kilang yang terus memasuki Sungai Perai.

“Selain kompaun, kita juga telah mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, supaya pihak kilang mengambil langkah-langkah kawalan bagi mengelakkan efluen tidak terolah daripada dilepaskan ke Sungai Perai sebelum boleh beroperasi semula.

“JAS Pulau Pinang akan mempertingkatkan pemantauan di sekitar kawasan Sungai Perai,” ujar Sharifah Zakiah.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung pencemaran melaporkan kejadian terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.


Pelepasan efluen tidak terolah yang dikesan oleh JAS Negeri Pulau Pinang berpunca dari kilang berasaskan makanan di Perai.

Minggu lalu, media tempatan melaporkan ribuan ikan mati di Sungai Perai dipercayai berpunca daripada pelepasan air tidak terawat daripada sebuah kilang berhampiran.

Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk di Taman Kimsar selepas melihat ribuan ikan timbul.

“Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat terhadap kilang tersebut untuk siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya,” katanya.- MalaysiaGazette