Struktur Lebuhraya SUKE.

KUALA LUMPUR – Projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) sudah mencapai 87 peratus n kemajuan keseluruhan pembinaan pada akhir tahun 2020, ini disokong dengan pakej CB3 yang menghubungkan Jalan Taman Putra dengan Jalan Merbau berhampiran Pekan Ampang siap 100 peratus.

Pakej CB3 ini merupakan pakej pertama di dalam lapan pakej pembinaan yang siap sepenuhnya bagi projek Lebuhraya SUKE.

Menurut Timbalan Pengurus Besar SUKE, Ir. Dr. Zarulazam Eusofe, pakej CB3 sepanjang 2.7km melibatkan laluan kawasan Ampang Waterfront, Bandar Baru Ampang dan berakhir di Jalan Merbau, berhampiran LRT Ampang.

Kerja-kerja pembinaan ini telah mengambil masa selama empat tahun dan berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.

”Apabila Lebuhraya SUKE ini dibuka kepada pengguna kelak, jajaran pakej ini akan membantu melancarkan aliran trafik dari kawasan sekitar Bukit Indah, Kampung Dato’ Mufti, Taman Kosas dan Bandar Baru Ampang.

”Pengguna yang menghala ke Pusat Bandar Kuala Lumpur cuma perlu menggunakan Persimpangan Kosas atau Persimpangan Ampang seterusnya melalui Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

“Dengan jarak anggaran sekitar 12 kilometer ini dari persimpangan-persimpangan tersebut, pemanduan hanya akan mengambil masa sekitar lapan minit dan tanpa perlu menempuh kesesakan trafik di Jalan Ampang,” katanya.

Selain itu, dengan pembangunan projek Lebuhraya SUKE ini, ianya bakal memberi manfaat besar terutama kepada penduduk sekitar Ampang apabila syarikat ini telah menaik taraf Jalan Ampang sedia ada yang terletak di bawah struktur Lebuhraya SUKE.

Jalan Ampang yang sebelum ini hanya mempunyai dua lorong kini telah dilebarkan kepada tiga lorong setiap hala.

Dengan penambah baikan ini, pengguna di Jalan Ampang akan mendapat jalan yang lebih selesa dan lancar serta percuma.

Pembinaan Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4km telah bermula pada 29 Ogos 2016.

Apabila siap sepenuhnya kelak, ianya dijangka akan mengurangkan kesesakan lalu lintas sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan di kawasan berkepadatan tinggi seperti Cheras, Pandan Indah dan Ampang.

Bermula di Sri Petaling dan berakhir di Ulu Kelang di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Lebuhraya SUKE akan menghubungkan secara terus beberapa lebuh raya utama dalam bandar seperti DUKE, AKLEH, Lebuhraya KL-Seremban, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya BESRAYA dan Lebuhraya KESAS. – MalaysiaGazette