BUTTERWORTH – Bunyi salakan anjing tanda ada kehadiran pihak berkuasa.

Itu taktik seorang pemilik bengkel yang sengaja memelihara lima ekor anjing di bahagian luar premisnya ketika menganjurkan kegiatan judi mahjong.

Beberapa ekor anjing ditempatkan di bahagian luar premis bagi mengesan kehadiran pihak polis.

Bagaimanapun, taktik tersebut akhirnya tidak menjadi selepas premis di Jalan Kampung Paya itu diserbu polis tengah hari tadi.

Serbuan bermula jam 12 tengah hari itu membawa kepada penangkapan lapan lelaki yang dipercayai baru memulakan pertaruhan.

MalaysiaGazette difahamkan, aktiviti judi mahjong itu aktif sejak Khamis lalu iaitu sehari sebelum Tahun Baru Cina dan rata-rata pelangggannya terdiri daripada golongan warga emas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil serbuan mendapati lapan lelaki berusia 46 hingga 73 tahun sedang leka bermain judi mahjong.

Noorzainy (kiri) ketika melakukan serbuan di sebuah bengkel motosikal di Jalan Kampung Paya di sini hari ini.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati pemilik premis berusia 60-an itu sengaja meletakkan anjing sebagai ‘penjaga’ bagi mengesan kehadiran pihak polis.

“Siasatan lanjut mendapati bengkel motosikal itu tidak beroperasi susulan sambutan Tahun Baru Cina dan digunakan bagi tujuan penganjuran judi mahjong.

“Rata-rata yang ditahan terdiri daripada warga emas dan mereka memberi alasan datang ke sini kerana sudah jemu terperuk di rumah,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadu, buah mahjong, cip pelbagai warga serta meja yang digunakan bagi aktiviti perjudian.

Warga emas menjadikan bengkel motosikal sebagai premis melepaskan gian berjudi.

Tambah beliau, kesemua tangkapan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Selain itu, kesemua mereka juga dikenakan kompaun RM1,000 setiap orang kerana mengingkari peraturan Perintah Kawalan Pergerakkan,” ujar Noorzainy. – MalaysiaGazette