Orang ramai mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan terhadap rampasan kuasa tentera di Yangon, Myanmar. foto agensi

TAIPEI – Taiwan mengatur dua penerbangan untuk rakyatnya yang mahu meninggalkan Myanmar susulan krisis politik di negara itu.

Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei (TECO) di Myanmar memaklumkan, dua penerbangan tersebut akan dikendalikan oleh syarikat penerbangan utama Taiwan, China Airlines (CAL).

“Warga Taiwan yang berminat boleh menghubungi CAL untuk maklumat lanjut.

“Jadual penerbangan dari Taipei ke Yangon akan diberikan dan dijangka kembali pada 21 dan 28 Februari ini,” kata TECO seperti yang dilapor dalam kenyataan Agensi Berita Pusat Taiwan(CNA).

TECO, Kedutaan Taiwan di Myanmar meminta warganya supaya bertenang apabila mendengar pelbagai maklumat yang tidak sahih mengenai keadaan politik.

Jika terdapat berlaku kecemasan, warga Taiwan boleh menghubungi talian telefon (95) 9-257-257-575.

Mengulas lanjut, TECO berkata, meskipun operasi syarikat Taiwan di Myanmar secara beransur-ansur kembali normal sejak awal Februari ini, beberapa syarikat perdagangan masih menghadapi masalah mengeksport barang-barang.

“Hal ini berlaku kerana ketidakstabilan politik,” ujarnya.

Myanmar menyaksikan tunjuk perasaan anti-kudeta di seluruh negara sejak 1 Februari ekoran rampasan kuasa tentera dan Aung San Suu Kyi serta pemimpin lain yang dipilih secara demokratik ditahan. – MalaysiaGazette