Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Sembilan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memboikot mesyuarat Jawatankuasa Konsultasi Wilayah Persekutuan (JaKoWIP) yang akan berlangsung esok.

Sembilan Ahli Parlimen berkenaan adalah Tan Kok Wai (Cheras), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Hannah Yeoh (Segambut), Teresa Kok (Seputeh), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju), P. Prabakaran (Batu), Lim Lip Eng (Kepong) dan Fong Kui Lun (Bukit Bintang).

Kesemua Ahli Parlimen itu mendakwa, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa enggan mengadakan mesyuarat khusus untuk bertemu dengan mereka untuk menyapaikan maklum balas mengenai penubuhan JaKoWIP sebelum ini.

“Perkara-perkara asas yang dibangkitkan dalam surat kami bertarikh 7 Disember 2020 belum dijawab, atau pindaan yang diminta belum dilakukan, termasuk penyertaan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) sebagai ahli mesyuarat memandangkan mereka adalah lantikan politik yang tiada mandat rakyat Kuala Lumpur,” kata mereka menerusi kenyataan bersama hari ini.

Ahli Parlimen itu berkata, mereka menulis surat kepada Annuar pada 7 Disember lalu bagi menggesa beberapa perkara dalam JaKoWIP dipinda.

Bagaimanapun kata mereka, Setiausaha Politik menteri berkenaan dalam surat bertarikh 24 Disember lepas menjelaskan syor-syor yang dikemukakan sedang diperhalusi.

Mereka menyifatkan keenganan Annuar untuk bertemu, membuktikan menteri itu tidak menghormati mandat rakyat yang telah memilih wakil rakyat di sembilan Parlimen kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Oleh itu, Menteri Wilayah Persekutuan perlu menghormati mandat tersebut dan segera mengadakan mesyuarat khusus bersama kami untuk meneliti serta menyelesaikan perkara-perkara yang telah dibangkitkan sebelum ini,” tambah mereka.-MalaysiaGazette