Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Satu rakaman audio dan transkrip mengandungi ayat “Can I advise you something?” (Boleh saya beri nasihat kepada kamu mengenai sesuatu) diterima sebagai bukti dalam perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor yang berkaitan dengan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Rakaman audio yang sebelum ini ditampilkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dipercayai sebagai sebahagian daripada perbualan antara Rosmah dan suaminya, bekas Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak, dimainkan oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan semasa bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi keterangan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan telah membuat ketetapan berhubung penerimaan rakaman audio berkenaan, sebelum itu mengarahkan Rosmah, 69, untuk membela diri terhadap tiga dakwaan rasuah.

Beliau membenarkan rakaman audio itu yang ditanda sebagai IDP36, dan transkripnya yang ditanda sebagai IDP163, untuk menjadi bukti selepas pihak pendakwaan dalam hujah mereka menggesa mahkamah melihat semula permohonannya dan mengkaji semula ketetapan terdahulu mahkamah (berhubung permohonan pihak pendakwaan terhadap kedua-dua barang berkenaan sebagai eksibitnya).

Hakim berkata pihak pembelaan dalam membantah permohonan berhujah bahawa mahkamah telah ‘functus officio’ (tugas yang sudah selesai dilaksanakan) apabila membuat ketetapannya, dan bahawa isu itu adalah ‘res judicata’, yakni keputusan yang dibuat tidak boleh dikaji semula.

Namun katanya beliau tidak dapat menerima hujah pembelaan bahawa mahkamah adalah functus officio kerana ia hanya akan menjadi functus officio apabila ia telah selesai melaksanakan tugas sepenuhnya.

“Dilihat dari perspektif yang tepat, mahkamah hanya boleh menetapkan bahawa ia functus officio, apabila ia secara rasmi menyelesaikan perbicaraan. Dalam keadaan sekarang, perbicaraan belum tamat, masih berjalan,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini berkata bagi hujah res judicata pula, satu konsep yang mungkin menjadi soal biasa dalam perkara berkaitan sivil, ia merujuk kepada keputusan yang telah dicapai di tahap akhir dan tidak boleh dipertikai lagi.

Beliau berkata ketetapannya berhubung penerimaan kedua-dua barang itu adalah ketetapan semata-mata, kerana ia dibuat semasa perbicaraan berlangsung.

“Ia bukanlah keputusan dengan konteks dalam Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, yakni penghakiman, hukuman atau perintah. Peraturan yang sesuai adalah bahawa keputusan yang dibuat semasa perbicaraan tidak boleh dianggap sebagai satu keputusan akhir, kerana keputusan akhir memiliki unsur penamat.

— BERNAMA

 

1 Komen

  1. Kredit pada Latifah Koya yg berani dedahkan bukti audio tu walaupon dikeji dihina oleh pngikut bossku… Last2 diterima oleh mahkamah sgai bhn bukti…

Comments are closed.