KUALA LUMPUR – Borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 yang tular melalui media sosial baru-baru ini bukan borang persetujuan yang muktamad yang akan diguna pakai dalam pemberian suntikan vaksin berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata,  borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 yang muktamad akan diedarkan kepada bakal penerima vaksin dalam tempoh terdekat, bermula dengan penerima vaksin bagi fasa pertama.

Sehubungan itu, masyarakat diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat yang boleh menimbulkan keresahan orang ramai.

Menurutnya, memandangkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 adalah secara sukarela, maka borang persetujuan suntikan vaksin adalah dokumen yang digunakan untuk diberi kepada penerima vaksin bagi mereka menyatakan persetujuan penerimaan vaksin dengan rela hati.

”Borang persetujuan juga digunakan di negara-negara lain yang melaksanakan Program Imunisasi Covid-19. Penerimaan vaksin ini adalah secara opt-in di mana penerima vaksin yang bersetuju untuk menerima vaksin perlu menandatangani borang ini.

”Kandungan di dalam borang persetujuan ini adalah untuk memastikan bahawa penerima vaksin memahami sepenuhnya apa yang telah dibaca atau diterangkan oleh anggota kesihatan mengenai manfaat dan risiko vaksin,” katanya dalam kenyataan di sini/

Semua vaksin yang akan memasuki Malaysia akan dinilai terlebih dahulu daripada segi kualiti, keberkesanan dan keselamatannya oleh pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Selain daripada itu, melalui pelaporan yang diperolehi dari negara-negara yang telah melaksanakan pemberian vaksin COVID-19, vaksin ini adalah selamat digunakan. – MalaysiaGazette