Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) mahu kerajaan mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang terkesan dalam industri penerbangan.

Ini kerana, semakin ramai pekerja sudah terkesan dengan keadaan hari ini.

Sekretariat NUFAM berkata, setakat ini ada pekerja dicutikan atau dikenakan potongan gaji sehingga akhir tahun disebabkan ketidaktentuan dalam industri penerbangan.

“Keadaan ini amat membimbangkan ramai pekerja terutama sekali golongan M40 dan B40. Ini tidak termasuk golongan yang sudah hilang pekerjaan sejak tahun lepas,” kata NUFAM dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, ada yang mengatakan permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditolak dan ramai antara mereka tidak dapat maklumat mengenai kelulusan mereka sehingga hari ini, sekali gus menyukarkan kehidupan mereka.

Apatah lagi, kebanyakan golongan muda tidak mempunyai simpanan yang banyak.

Dalam keadaan sukar ini, bank tetap mengejar mereka untuk bayaran bulanan.

NUFAM berkata, pihaknya telah mencadangkan agar kerajaan meneliti semula masalah pekerja dalam industri penerbangan.

”Dengarlah rintihan daripada golongan yang betul-betul terkesan, bukan dengar satu belah pihak saja kerana bukan semua bantuan yang kerajaan tawarkan diterima oleh golongan ini.

”Sebaiknya adakan dialog dengan semua badan dan wakil industri penerbangan sebelum keadaan menjadi lebih parah.

”Kalau tak percaya, pergi ke lapangan terbang dan lihat keadaan di sana sendiri. Banyak kedai dan perniagaan di lapangan terbang pun sudah tutup dan ramai pekerja di sana pun sudah hilang pekerjaan,” ujar NUFAM.

NUFAM khuatir jika tiada tindakan yang proaktif, keadaan yang tidak menentu ini akan terus menggugat kehidupan lebih banyak pihak dalam industri penerbangan.

Tambahnya, NUFAM serta Persatuan dan badan bukan kerajaan yang lain telah meminta Kementerian Pengangkutan mengadakan perbincangan melalui Majlis Kerja Industri Penerbangan (NACC) yang sudah lama tidak berbincang mengenai masalah industri ini.

Kementerian Pelancongan, Kementerian Pengangkutan serta wakil industri perlu duduk semeja dan memberikan maklumat yang lebih terperinci mengenai masalah yang sedang dihadapi.

“Ramai mahu industri penerbangan dan pelancongan ini bernafas semula seperti dulu tetapi dengan lebih sistematik dan terurus.

“Isu keselamatan dan prosedur operasi standard Covid-19 mesti terus ditangani dengan lebih baik agar industri negara kita tidak ketinggalan ketika negara lain sudah lama memulakan perbincangan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette