Pekerja pasar melakukan kerja-kerja mengemas semasa tinjaun lensa Malaysia Gazette selepas kerajaan bersetuju melanjutkan waktu operasi baharu bagi pasar harian di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula jam 6 pagi sehingga 4 petang di Chow Kit, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Pasaran buruh pada suku keempat (ST4) tahun lalu menyaksikan pemulihan sederhana di sebalik usaha kerajaan melandaikan gelombang ketiga Covid-19.

Pada suku tersebut, sebahagian besar perniagaan masih belum kembali kepada tahap optimum seperti tempoh sebelum krisis berikutan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di
kawasan berisiko tinggi seluruh negara.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, dari segi penawaran, bilangan penduduk bekerja turun 0.6 peratus tahun ke tahun kepada 15.16 juta orang, manakala kadar pengangguran meningkat kepada 4.8 peratus, dengan bilangan penganggur seramai 761,000 orang pada ST4 2020.

Dalam tempoh sama, kadar penyertaan tenaga buruh jatuh 0.6 mata peratus kepada 68.5 peratus berbanding 69.1 peratus pada ST4 2019.

Oleh itu, bilangan di luar tenaga buruh meningkat 3.6 peratus kepada 7.32 juta, dengan lebih dari 40 peratus disebabkan persekolahan.

Sementara itu, bilangan jawatan sektor swasta jatuh 2.4 peratus kepada 8.46 juta.

Daripada jumlah jawatan pada ST4 2020, jawatan diisi meliputi 97.9 peratus atau 8.281 juta, manakala peluang pekerjaan yang ditunjukkan oleh bilangan kekosongan merekodkan kadar 2.1 peratus.

Bilangan kekosongan berkurang sebanyak 22,000 berbanding ST4 2019 kepada 176,000 kekosongan jawatan.

Permintaan buruh yang lebih perlahan pada ST4 2020 juga digambarkan melalui bilangan pewujudan jawatan yang lebih kecil sebanyak 17,000 jawatan, yang mana sebahagian besarnya dalam kategori separuh mahir.

”Dengan ekonomi Malaysia mencatatkan kejatuhan 3.4 peratus pada ST4 2020, produktiviti buruh per pekerja merekodkan pengurangan 2.9 peratus kepada RM23,570 per pekerja.

”Selari dengan operasi perniagaan yang lebih singkat pada suku ini, jumlah jam bekerja jatuh 2.7 peratus kepada 8.6 bilion jam. Oleh itu, produktiviti buruh per jam bekerja turun 0.8 peratus kepada RM42 per jam,” katanya.

Mengulas prestasi pasaran buruh pada tahun 2020, Mohd Uzir berkata, angka awalan berdasarkan purata suku tahunan statistik tenaga buruh menunjukkan bilangan penduduk bekerja merekodkan peningkatan kecil kepada 15.10 juta orang manakala bilangan penganggur naik kepada 711,000 orang.

Justeru, kadar pengangguran melonjak naik kepada 4.5 peratus berbanding kadar purata 3.0 peratus yang direkodkan dalam tempoh sebelum krisis.

Tahun 2020 menyaksikan permintaan buruh oleh pertubuhan perniagaan sektor swasta lebih perlahan dengan pewujudan jawatan sebanyak 73,000, turun 31,000 daripada 104,000 pewujudan jawatan pada 2019.

Dengan nilai ditambah bagi tahun 2020 menyusut 5.6 peratus, produktiviti buruh per pekerja jatuh 5.4 peratus kepada RM88,899 per pekerja.

Berikutan pengurangan operasi perniagaan, jumlah jam bekerja pada 2020 mencatatkan penurunan kepada 32.0 bilion jam (2019: 35 bilion jam), menyebabkan produktiviti buruh per jam bekerja meningkat 3.4 peratus kepada RM42 per jam. – MalaysiaGazette