Datuk Jagjit Singh, peguam kepada Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpu. Foto FIKRI YAZID, 18 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor terkejut dan kecewa apabila Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan beliau membela diri tanpa memberikan alasan atau bukti berhubung arahan tersebut.  

Persoalan itu juga turut ditimbulkan oleh peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kadir sebentar tadi.

Kata Jagjit kepada media di luar perkarangan mahkamah, Rosmah menangis dan terkejut dengan keputusan hari ini memandangkan kes itu bukan sahaja mendapat liputan meluas sebaliknya juga merupakan kes berprofil tinggi.

“Beliau terkejut kerana mahkamah tidak beri alasan sebenar mengapakah Rosmah perlu membela diri untuk tiga pertuduhan terhadapnya.

“Yang Arif tidak memberi sebab musabab mengapakah kes ini anak guam kami perlu bela diri sebenarnya, sebaliknya kita terpaksa pula buat spekulasi dengan anggap ianya prima facie.

“Bagaimanapun kita hormat dengan keputusan ini dan buat yang terbaik walau apa pun yang terjadi.

“Anak guam kami sangat sedih, terkejut. Kita sudah suruh beliau pulang dan tenangkan diri,” katanya sebentar tadi. 

Rosmah difahamkan terkejut dengan keputusan itu yang kemudian dipujuk oleh pasukan peguamnya selain Najib yang memeluk serta memintanya bersabar.

Peguam kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Jagjit Singh berjalan keluar selepas keputusan akhir kes projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 FEBRUARI 2021.

Rosmah kelihatan tenang dan sempat bercakap dengan wartawan MalaysiaGazette sejurus selepas tamat prosiding sambil menyatakan beliau OK dan sangat kuat untuk mengharungi dugaan ini.

Rosmah akan memberi keterangan dari kandang saksi pada perbicaraan bela diri yang dihadapinya, membabitkan projek tenaga solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Ini selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan, di sini, hari ini, memerintahkan isteri bekas Perdana Menteri itu membela diri, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Dalam pada itu, Jagjit turut berkata, pihaknya akan memanggil seramai lima atau enam saksi bagi memberi keterangan yang akan berlangsung selama enam hingga tujuh hari.

Katanya, pihaknya mungkin akan memanggil Najib bagi memberi keterangan ketika pembelaan kelak.

Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebelum itu memaklumkan pihak pendakwaan turut menawarkan beberapa saksi kepada pembelaan.

Mahkamah kemudian menetapkan sembilan hari bermula 9 Jun ini untuk perbicaraan kes.

Mahkamah turut menetapkan perbicaraan pada 10, 15, 16, 17, 22, 23 Jun serta 12, 15 Julai ini. -MalaysiaGazette