Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan tersebut kepada Dr. Ramzah yang mewakili UMS.

KUALA LUMPUR – Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) menerima sumbangan dana bantuan daripada Kerajaan Negeri Sabah berjumlah RM1.5 juta.

Dana tersebut telah disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor di Pejabat Ketua Menteri, bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, hari ini.

Pada majlis penyerahan yang berlangsung sederhana itu, UMS diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul dan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree.

Pemberian dana itu bertujuan bagi membantu HUMS dalam pelaksanaan ujian COVID-19 dan sekali gus usaha untuk menangani wabak tersebut. -MalaysiaGazette