Doktor Perubatan, Dr Ronald Victor (kiri) dan peguamnya Alicia Nicholson keluar daripada balai polis selepas memberi keterangan berkenaan video vaksin yang dimuat naiknya tular dalam media sosial di IPD Sepang .Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 FEBRUARI 2021.

SEPANG – Seorang doktor memberi keterangan kepada polis hari ini berhubung video mengenai pandangannya sebagai pegawai perubatan terhadap vaksin Covid-19 yang tular di laman media sosial baru-bari ini.

Pengasas KL Sky Clinic, Dr Roland Victor Aloysius Victor ditemani peguamnya, Alicia Nicholson tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada jam 2.15 petang.

“Saya mula diambil keterangan selama hampir dua jam 30 minit oleh pegawai penyiasat.

“Mereka merakam kenyataan berkaitan video saya berdurasi 56 hingga 58 minit dimuat naik pada 7 Februari lalu jam 10.38 malam dalam Facebook rasmi KL Sky Clinic yang menerangkan mengenai fungsi, pengambilan vaksin Covid-19 dan risiko serta kesan yang mungkin dihadapi sekiranya diambil oleh awam tadi,” kata Roland.

Menurut Roland, beliau menjelaskan kepada pegawai penyiasat bahawa video yang mengandungi isu berkaitan vaksin Covid-19 itu berdasaskan fakta sains.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, polis mengesahkan hanya menerima satu laporan iaitu daripada individu yang mewakili Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 11 Februari lalu.

Jelas Roland, dalam video sama beliau turut menyatakan tentang dokumen biro penguatkuasaan farmasi mengenai risiko vaksin yang mana ia boleh dimuat turun oleh sesiapa sahaja.

“Namun saya menolak dakwaan ia berisiko tetapi kita tanpa berselindung perlu menjelaskan kepada rakyat mengenainya.

“Malah ia bukan bercorak takutkan rakyat, berpuluh puluh video dikongsi oleh kami sejak permulaan Covid-19 semenjak Mac 2020 di negara ini,” ujarnya.

Sementara itu, Alicia berkata, proses memberi keterangan daripada Roland selesai dan beliau tidak dimaklumkan sama ada Roland perlu datang semula ke IPD Sepang pada masa hadapan.

“Bagaimanapun kami sedia memberikan kerjasama jika polis memerlukan kami datang semula selepas ini,” katanya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan rakaman keterangan dilakukan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette