gambar hiasan

CANBERRA – Perdana Menteri Australia, Scott Morrison meminta penduduk negara itu mengekang pengaruh Facebook setelah firma gergasi media sosial itu menyekat warganya daripada berkongsi atau mengakses berita di platform syarikat tersebut.

Beliau berkata, halaman-halaman jabatan kesihatan, kerajaan, bomba dan Biro Meteorologi juga telah dihapuskan.

“Saya berjanji bahawa kerajaan tidak akan ‘diintimidasi’ dengan tindakan itu.

“Tindakan Facebook memotong perkhidmatan maklumat penting mengenai perkhidmatan kesihatan dan kecemasan adalah begitu angkuh dan mengecewakan,” katanya seperti dilaporkan agensi berita, Xinhua.

Firma gergasi media sosial Facebook telah menerima pelbagai keceman selepas menyekat warga Australia daripada berkongsi atau mengakses berita di platformnya.

Perkara ini berlaku apabila Australia merancang untuk menguatkuasakan undang-undang yang memaksa syarikat digital membayar kandungan berita.

Facebook memberitahu, pihaknya akan menyekat perkongsian kandungan berita di Australia, sekali gus enggan mematuhi peraturan yang diberikan.

Pengurus Facebook Australia dan New Zealand, William Easton berkata, terdapat salah faham pada undang-undang yang berkait rapat hubungan antara platform kami dengan penerbit dalam berkongsi kandungan berita.

“Ini membuatkan kami menghadapi pilihan yang bercelaru, sama ada untuk mematuhi undang-undang yang mengabaikan realiti perhubungan atau berhenti membenarkan kandungan berita dalam perkhidmatan kami di Australia.

“Dengan hati yang berat, kami memilih mengakhirinya,” katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Paul Fletcher berkata, keputusan itu akan menimbulkan persoalan apakah warga Australia dapat mempercayai apa yang mereka lihat di Facebook dan berikrar untuk terus ke hadapan dengan menetapkan peraturan perundingan media.

“Facebook perlu memikirkan dengan teliti apa yang dimaksudkan dengan reputasi dan kedudukannya,” ujarnya.

Menurut Bekas Bendahari, Josh Frydenberg, beliau telah bercakap dengan Pengasas dan Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, mengenai keputusan itu.

“Semalam, saya mengadakan perbincangan bersama Mark Zuckerberg dari Facebook.

“Saya telah membangkitkan beberapa masalah yang tersisa dengan kod tawar-menawar media berita kerajaan.

“Selain itu, kami juga telah bersetuju untuk meneruskan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya menerusi akaun twitternya. – MalaysiaGazette