Singapura hari ini memberi amaran kepada orang ramai mengenai laman web palsu yang bertujuan menarik pelaburan dalam Bitcoin menggunakan komen palsu daripada Pengerusi Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS), Tharman Shanmugaratnam.
Polis melumpuhkan sindiket melombong Bitcoin yang mengaut keuntungan RM1.5 juta sebulan dalam beberapa serbuan di sekitar negeri Perak.- Gambar hiasan.

IPOH – Polis melumpuhkan sindiket melombong Bitcoin yang mengaut keuntungan RM1.5 juta sebulan dalam beberapa serbuan di sekitar negeri Perak.

Serbuan di sekitar daerah Ipoh, Taiping, Manjung, Kerian, Kampar, Perak Tengah dan Kuala Kangsar itu turut membawa kepada penangkapan 25 lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebanyak 24 buah premis yang dijadikan lokasi melombong Bitcoin diserbu bermula 1 Disember hingga semalam.

Jelas beliau, dalam serbuan itu pihak polis merampas 1,554 unit mesin Bitcoin yang dianggarkan bernilai RM2.2 juta.

“Sindiket ini menyasarkan bangunan sunyi selain mengubah suai pendawaian di premis berkenaan. Serbuan bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapati sindiket membuat penyambungan haram ke atas bekalan kuasa elektrik sekali gus menyebabkan TNB mengalami kerugian RM743,000 setiap bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990, Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta yang sama.

Dalam perkembangan sama, Mior Faridalathrash mengingatkan pemilik premis mengambil tahu aktiviti yang dilakukan penyewa agar tidak terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette