Pendakwah Selebriti, Da'i Syed Shah Iqmal keluar mahkamah diiringi peguam, Syed Amirul Syed Edros berikutan kes sebutan persetubuhan luar tabii dan cabul di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. Foto SHAFIY ZUL, 19 FEBRUARI 2021

PETALING JAYA – Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 19 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes cabul dan persetubuhan luar tabii terhadap penceramah bebas, Syed Iqmal Syed Mohammad Shaiful.

Peguam yang mewakili Syed Shah Iqmal, Syed Amirul Syed Edros berkata, ia ekoran fail pendakwaan kes anak guamnya masih berada di pejabat pendakwaan di Shah Alam.

“Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes sahaja sepatutnya hari ini adalah serahan dokumen dan difahamkan tadi fail kertas siasatan mahkamah hari ini. Saya difahamkan fail itu masih di pejabat pengarah pendakwaan negeri di Shah Alam.

“Oleh sebab fail itu tidak dibawa ke mahkamah pada hari ini maka tidak boleh dibuat serahan fail itu jadi mahkamah menangguhkan kes ke satu tarikh yang baharu.

“Sebutan kes yang baharu adalah pada 19 Mac di kedua-dua mahkamah,” katanya di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, hari ini.

Semakan semula kes itu dibuat Hakim Jamaludin Mat bagi Mahkamah Sesyen dan Majistret Muhammad Iskandar Zainol di Mahkamah Majistret.

Pada 10 Disember tahun lalu, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Syed Shah Iqmal diheret ke Mahkamah Majistret ekoran pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di tempat, waktu dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Di Mahkamah Sesyen pula, Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita yang juga penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.

Ditanya samada Syed Shah Iqmal bersedia untuk dibicarakan bagi kedua-dua pertuudhan beliau berkata: “Sudah tentu saya sudah sedia untuk dibicarakan,”. – MalaysiaGazette