Nur Ain Fatihah Mohd Arshad melakukan ulangkaji pelajaran menerusi DidikTv yang merupakan saluran khusus TV Pendidikan diwujudkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membantu pelajar mengikuti PdPR.

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berasa janggal pengumuman pembukaan sesi persekolahan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin tidak lama selepas pengumuman pelancaran Didik TV pada 17 Februari lalu.

Presidennya, Ahmad Farhan Rosli berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sepatutnya diberi kuasa autonomi dalam membuat keputusan sama ada sekolah harus dibuka atau sebaliknya dengan menimbang kepada keperluan dan kesediaan lokaliti tersebut.

PKPIM juga menggesa KPM memberi keutamaan kepada para guru sebagai penerima awal suntikan vaksin bagi memastikan keselamatan mereka sebagai barisan hadapan utama negara dalam sektor pendidikan.

Langkah ini, katanya, dapat mengurangkan risiko jangkitan kepada guru dan pelajar di sekolah.

Berhubung isu sama, PKPIM memahami kesan daripada penangguhan pembukaan sekolah di seluruh negara apabila, ramai pelajar, ibu bapa dan guru-guru sudah bertungkus-lumus untuk mempersiapkan diri untuk meneruskan sesi PdPR termasuklah menggunakan duit simpanan untuk membeli gajet demi kelangsungan sesi Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) mereka dan anak-anak di rumah.

Justeru, PKPIM mencadangkan beberapa inisiatif yang boleh dilaksanakan oleh pihak KPM.

Katanya, KPM perlu memperbanyakkan sesi libat urus bersama pemegang taruh pendidikan seperti badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengelakkan blanket decision (pukul rata)  oleh pihak kementerian.

Menimbang kewajaran penubuhan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan atau Jawatankuasa Bipartisan Parlimen mengenai pendidikan bagi menyemak semula Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) sebagai persediaan menghadapi kesan semasa dan selepas pandemik Covid-19.

Selain itu meneliti semula takwim persekolahan bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran tidak terganggu di samping mencari suatu silibus kurikulum yang lebih fleksibel buat para pelajar ketika mengikuti pembelajaran dalam tempoh pandemik ini.

Ahmad Farhan berkata, Pendidikan merupakan tanggungjawab bersama semua pihak, justeru, PKPIM berharap KPM bersedia membuka ruang usaha kerjasama yang lebih padu, holistik dan kolaboratif untuk duduk semeja dengan semua pemegang taruh dan pihak berkepentingan dalam menangani krisis pendidikan pasca pandemik ini. – MalaysiaGazette