Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Ujian saringan Covid-19 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  melebihi saranan yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO hanya menyarankan ujian saringan dijalankan pada kadar 10 ujian negatif kepada satu positif.

Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, melihat kepada rekod kes baharu harian Covid-19, KKM melakukan dua kali ganda lebih daripada paras yang ditetapkan.

Sebagai contohnya, pada 15 Februari lalu, jumlah kes positif Covid-19 adalah sebanyak 2,176 manakala jumlah mereka yang disaring ialah 41,895, merangkumi ujian RT PCR dan RTK-Ag.

Jumlah itu lebih daripada 10 peratus daripada penanda aras yang ditetapkan.

Oleh itu, ujian harian pada 15 Februari adalah sebanyak 41,895 hampir dua kali ganda dan lebih daripada cukup, walaupun ujian yang kurang dilakukan di makmal swasta dan bukan KKM lain.

”Pada 15 Februari, negara melaporkan 2,176 kes positif Covid-19. Adakah ujian saringan yang telah kita lakukan tidak memadai?,” soal Noor Hisham.

Lantaran itu, ujar beliau, dakwaan bahawa KKM tidak melakukan ujian saringan yang mencukupi untuk mengesan dan menangani penularan Covid-19 semasa perayaan Tahun Baharu Cina adalah tidak benar.

Jelasnya, sebanyak 23 makmal swasta melaksanakan 66.7 peratus kapasiti ujian RT PCR atau sebanyak 51,208 daripada 76,805 RT PCR sehari dan tentunya makmal-makmal ini menerima jumlah sampel yang sedikit disebabkan cuti hujung minggu Tahun Baharu Cina yang lalu.

Menurut beliau, KKM mengesan kuantiti dan hasil ujian Covid-19 melalui Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

Jumlah ujian saringan individu dan kes positif dilaporkan secara harian oleh makmal-makmal awam dan swasta. – MalaysiaGazette