Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Redzuan Md Yusof (kanan) melawat kawasan pemeriksaan kesihatan pada Lawatan Rasmi Ke KLIA di Balai Perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 21 FEBRUARI 2021.

SEPANG – Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan menggunakan aplikasi Trac Virus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bagi memantau kemasukan setiap individu ke negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, aplikasi itu akan diuji secara percubaan selama dua minggu bermula esok.

Aplikasi itu dibangunkan oleh syarikat tempatan dan mendapat persetujuan Majlis Keselamatan Negara itu boleh dimuat turun melalui Google Playstore dan Appstore.

Ia juga menyediakan kemudahan dalam lapan bahasa iaitu Bahasa Melayu, Mandarin, Jepun, Arab, Thailand, Bahasa Inggeris, Korea dan Indonesia.

“Aplikasi ini boleh diisi secara dalam talian tanpa mengisi secara manual dengan beratur panjang di kaunter pemeriksaan pintu masuk utama negara sekaligus menjimatkan beratur panjang, ” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi keselamatan APM di KLIA malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Redzuan Md Yusof melawat kawasan pemeriksaan suhu badan pada Lawatan Rasmi Ke KLIA di Balai Perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 21 FEBRUARI 2021.

Tambah Mohd Redzuan, aplikasi yang sama akan memudahkan individu dari luar negara untuk memasuki negara ini berbanding sebelum ini perlu mengisi borang secara manual termasuk keputusan ujian saringan Covid-19.

Aplikasi berkenaan juga boleh menjejaki secara langsung kedudukan semasa individu itu mengikut masa sebenar, katanya lagi.

“Selain itu aplikasi ini boleh memantau secara langsung kedudukan lokasi sebenar dan orang di sekelilingnya mengikut waktu sebenar.

“APM juga telah berbincang dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba untuk mewujudkan perkongsian data maklumat kesihatan awam dengan APM menerusi sistem yang sama.

“Sekiranya aplikasi ini berjaya membawa keberhasilan yang kita harapkan maka ia akan diperluaskan untuk digunakan di tempat lain bagi menggalakkan gelembung perjalanan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette