Sebanyak 509 buah sekolah  menengah dalam negara yang terbabit dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula esok sudah menjalani proses sanitasi dan disinfeksi.- Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Sebanyak 509 buah sekolah  menengah dalam negara yang terbabit dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula esok sudah menjalani proses sanitasi dan disinfeksi.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, proses sanitasi itu membabitkan dewan sekolah dan bilik darjah yang akan digunakan untuk peperiksaan berkenaan.

“Proses sanitasi sekolah sebagai persediaan menghadapi SPM ini sudah dimulakan sejak Januari lalu dan setakat ini sudah 509 buah sekolah disanitasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Hisham memberitahu, sanitasi kali ini lebih fokus kepada kawasan penularan Covid-19.

“Berdasarkan statistik 328 sekolah disanitasi pada Januari manakala bagi Februari 181 sekolah setakat ini,” katanya lagi.

Antara sekolah terlibat sebanyak 105 di Kuala Lumpur, Selangor (31), Sarawak (61), Pulau Pinang (12), Kedah (27) dan Perak (60). – MalaysiaGazette