Mayat lelaki dipercayai mati lebih sebulan ditemui dalam tong biru di kawasan kebun sawit di Kongsi Tiga Simpang Ampat di sini.

SEBERANG PERAI – Seorang tukang kebun terkejut apabila menemukan mayat seorang lelaki yang hampir reput di sebuah kebun sawit di Tiga Kongsi Simpang Ampat di sini.

Mayat lelaki dipercayai berusia lingkungan 40-an itu ditemuinya pada jam 6 petang semalam selepas terhidu bau busuk dari arah sebuah tong biru dalam kawasan kebun sawit itu.

Mayat seorang lelaki warga asing ditemui dalam tong biru di kawasan kebun sawit di Tiga Kongsi Simpang Ampat di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung penemuan mayat itu daripada pemilik kebun berkenaan sebelum sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian hari ini.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mayat lelaki dipercayai warga asing itu sudah meninggal dunia lebih sebulan. Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi dan keadaan mayat sudah mengecut dan kering,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Chong Chern, hasil pemeriksaan pihak forensik tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada mangsa.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan bedah siasat akan dibuat esok jam 11 pagi di Hopsital Seberang Jaya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette