Konvoi kenderaan yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech yang dikawal ketat oleh Polis Diraja Malaysia dari pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) tiba di Kompleks Raya Airways, DHL Express (M), Subang Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 21 FEBRUARI 2021.

SEPANG – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 pada Rabu ini.

Individu kedua adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang bakal menerima suntikan vaksin yang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kedua-dua mereka diberi suntikan dos pertama Pfizer-BioNtech selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di Putrajaya.

“Rabu ini, PM kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga DG kita, Tan Sri Noor Hisham Abdullah adalah dua individu pertama yang akan menerima vaksin itu di Klinik Kesihatan Putrajaya.

“Mereka akan menerima vaksin berkenaan selepas menghadiri mensyuarat khas Jemaah Menteri pada pagi Rabu nanti,” katanya selepas ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech di KLIA hari ini.

Khairy Jamaluddin yang turut mempengerusikan Jawatankuasa Imunisasi Vaksin Kebangsaan menambah, permulaan program imunisasi vaksin yang dijadualkan 26 Februari diawalkan kepada 24 Februari ini.

Pesawat Kargo MAS Airbus 330-300 yang berjaya membawa bekalan vaksin kumpulan pertama itu dari Puurs Belgium dengan jayanya diterbangkan oleh Kapten Hamdan Che Ismail yang berasal dari Tumpat, Kelantan.

Setakat ini jumlah petugas barisan hadapan yang berdaftar pengambilan vaksin adalah seramai 271, 802 orang mewakili sektor kesihatan dan sektor lain iaitu 57. 3 peratus daripada jumlah penerima adalah anggota perubatan dan kesihatan sementara 42.7 peratus adalah anggota bukan kesihatan seperti tentera, polis, Rela, kastam dan bomba.

Ujar Khairy, selepas PM dan Noor Hisham, para sukarelawan yang berdaftar akan menerima vaksin tersebut bersama doktor dan jururawat dalam fasa pertama yang kita jangkakan selesai pada April sebelum diteruskan dengan fasa kedua dan seterusnya.

Ditanya signifikan imunisasi vaksin diawalkan, beliau berkata, pada asalnya tempoh  beberapa hari untuk pengedaran vaksin  ke pusat simpanan perlu dilaksanakan termasuk log list setiap penghantaran vaksin yang mana memerhatikan penghantaran berkualiti tinggi supaya elak kerosakan.

“Melihat kecekapan KKM, farmasi dan pihak yang terlibat sudah bersedia awal maka PM sarankan boleh memulakan imunisasi vaksin awal tanpa menunggu tarikh asal Jumaat ini.

“Kita akan dari semasa ke semasa akan mengemaskini sasaran pemberian vaksin harian nanti,” katanya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Suntikan vaksin supaya halang coronavirus dalam badan. Justeru, sewajarnya para pesakit perlu didahulukan suntikan vaksin dan bukannya mendahulukan suntikan vaksin untuk yang tiada coronavirus dalam badan.

Comments are closed.