Rangka mayat dalam keadaan kepalanya terpisah ditemui di sebuah kawasan kosong di Jalan Kerayong di sini semalam.

KUALA LUMPUR – Rangka mayat dalam keadaan kepalanya terpisah ditemui di sebuah kawasan kosong di Jalan Kerayong di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar berkata, kepala rangka manusia itu ditemui terpisah kira-kira tiga kaki daripada badannya di kawasan semak.

Polis menemui rangka tersebut selepas satu laporan polis dibuat semalam.

“Butir-butir mangsa belum dikenalpasti kerana mayat dalam keadaan reput. Baju mangsa adalah jenis kemeja jenama Seven Saints berwarna merah.

“Hasil siasatan awal mendapati tempat kejadian tidak mempunyai liputan CCTV dan tiada pengawal keselamatan. Pihak Forensik, Unit K9 dan ahli patologi dari Hospital Kuala Lumpur turut hadir di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Anuar, kes diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR).

Orang awam yang mempunyai rekod saudara mara hilang dinasihatkan untuk membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat.

Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.- MalaysiaGazette