Polis Marin Wilayah 1 bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang berjaya merampas syabu bernilai hampir RM9 juta susulan penahanan empat lelaki dalam tiga serbuan di sekitar Pulau Pinang.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Marin Wilayah 1 bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang berjaya merampas syabu bernilai hampir RM9 juta susulan penahanan empat lelaki dalam tiga serbuan di sekitar Pulau Pinang.

MalaysiaGazette difahamkan syabu lebih 260 kilogram yang dirampas dalam serbuan selama dua hari bermula Rabu lalu itu untuk diseludup ke negara jiran.

Menurut sumber, tangkapan pertama membabitkan dua lelaki warga Indonesia dalam sebuah bot gentian kaca di perairan Pantai Telok Tempoyak pada Rabu lalu.

Jelasnya, berpandukan maklumat daripada nelayan dan buruh berusia 29 dan 33 tahun itu membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan.

“Dalam serbuan di pondok nelayan di Sungai Keluang, Bayan Lepas itu polis berjaya menahan seorang lelaki sebelum menemui ratusan bungkus teh Cina mengandungi syabu.

“Syabu itu ditemui dalam sebuah bot gentian kaca dan sebahagian lagi dalam sebuah kereta jenis Mazda di kawasan jeti nelayan itu.

“Susulan itu, kita menahan seorang nelayan di kawasan Sungai Ara sebelum merampas sebuah kereta jenis Mercedes Benz,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, satu sidang akhbar berhubung kejayaan rampasan itu akan dibuat esok oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang pada jam 12 tengah hari. – MalaysiaGazette