Pesawat MH604 membawa vaksin Pfizer-BioNTech selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Sepang, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 21 FEBRUARI 2021.

SEPANG- Pesawat MAS MH604 yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech selamat mendarat di KLIA pada 10.07 pagi tadi.

Pesawat MAS MH604 yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech selamat mendarat di KLIA pada 10.07 pagi tadi.

Pendaratan bersejarah pesawat MAS Airbus 330-300 yang membawa bekalan kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer–BioNTech yang ditempah dari Belgium ke KLIA pagi ini menerima tepukan dan sorakan gemuruh sebagai tanda kejayaan daripada para hadirin yang menyaksikan detik pernuh bermakna itu.

Kapten pesawat A330-300 Hamdan Che Ismail anak kelahiran Tumpat, Kelantan muncul sebagai wira yang berjaya menjayakan misi penghantaran vaksin tersebut dari Belgium ke KLIA hari ini.

Pendaratan itu disaksikan oleh Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar,Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy Jamaluddin sebagai menteri bertanggungjawab yang menguruskan penerimaan vaksin fasa pertama oleh negara kelihatan teruja dengan pendaratan selamat itu apabil menunjukkan tanda bagus ke arah pesawat sebagai simbol kejayaan misi mencabar itu berjaya dilaksanakan tanpa masalah.

Perjalanan vaksin ini dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh Pfizer dan DHL melalui perjanjian di peringkat global yang mana ia berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negaranegara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.

Sebaik pesawat mendarat, vaksin yang dibungkus rapi dalam dua kotak kargo gergasi bernombor siri AKE 10296 MH dan AKE 10679 MH yang ditempatkan dalam peranti muatan unit dipindahkan dari bahagian kargo pesawat ke lori lima tan milik sebuah syarikat pengangkutan.

Bekalan kumpulan pertama vaksin Covid-19 telah dipindahkan ke lori syarikat kurier DHL selaku ejen yang bertanggungjawab untuk proses pemindahan ke tempat penyimpanan yang selamat seperti ditetapkan kerajaan hari ini.

Selesai proses pemindahan, lori berkenaan akan diiringi PDRM untuk ke lokasi penyimpanan vaksin ditetapkan sebagai langkah keselamatan.

Bercakap dalam sidang media khas di lapangan terbang utama negara itu, Khairy Jamaluddin berkata kesemua vaksin itu akan diedarkan ke 16 daripada keseluruhan 54 tempat stor penyimpanan yang dikhususkan serta disediakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk melindungi vaksin tersebut.

“Bekalan ke Johor akan dihantar menerusi darat dari Singapura jam 2 petang membabitkan empat lokasi penyimpanan vaksin manakala dua tempat setor penyimpanan di Pulau Pinang juga menggunakan penghantaran menerusi pesawat jam 6 petang ini.

“Atas faktor keselamatan kita tidak boleh mendedahkan nama lokasi yang akan menempatkan vaksin Covid-19 ini secara terperinci kerana kita mengambil kira faktor keselamatan vaksin itu yang harus dilindungi dengan kawalan keselamatan yang tinggi dan ketat,” katanya pagi tadi.

Ditanya mengenai bagaimana dan tarikh proses penghantaran vaksin ke Sabah dan Sarawak, Ahli Parlimen Rembau yang mempengerusikan jawatankuasa imunisasi Vaksin kebangsaan itu menjelaskan pihaknya akan mengadakan perbincangan segera bagi urusan penghantaran ke kedua-dua negeri tersebut menerusi ruang udara.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech tiba di KLIA jam 10 pagi esok