KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,680 dos vaksin Pfizer-BioNTech fasa 1 tiba di Pusat Simpanan Vaksin (PSV), 93 Depot Perubatan & Pergigian Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin, pagi tadi.

Vaksin itu akan diberikan kepada 2,340 petugas kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Kementerian Pertahanan, sebanyak lima buah fasiliti kesihatan ATM telah disenaraikan sebagai PSVĀ  yang juga menjadi pusat pengagihan.

“Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (MATM-BPK) diberi tanggungjawab untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan khusus kepada warga ATM dan kakitangan Kementerian Pertahanan Malaysia bagi Fasa 1 manakala Fasa 2 dan 3 melibatkan ahli keluarga ATM, tanggungan dan veteran,”kata kementerian itu menerusi ciapan di Twitter.

Pengagihan vaksin daripada PSV kepada 54 buah PPV ATM akan menggunakan aset pertahanan sepertiĀ  pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) , helikopter dan kenderaan darat.

Dijangkakan, seramai 42,120 anggota ATM di seluruh negara akan menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula 23 Februari ini.

Ia melibatkan 84,240 dos dengan setiap anggota menerima dua dos suntikan vaksin.

Vaksin Pfizer-BioNTech tiba di negara semalam. – MalaysiaGazette