Pelakon, Janna Nick ketika semasa sesi fotografi di Flora Terrace, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Kontreversi melibatkan pelakon Janna Nick pada 2018 kembali hangat baru-baru ini.

Pengacara Melodi itu didakwa mempersendakan kematian bintang K-pop, mendiang Kim Jong-Hyun dan menyamakan anggota kumpulan Blackpink, Lisa Manoban sebagai ‘Lisa Blackpig’.

Ekoran itu, Janna Nick atau Nurul Jannah Muner menegaskan, beliau bakal mengambil tindakan terhadap individu yang melemparkan tomahan terhadapnya.

Beliau menyifatkan apa yang dilakukan terhadap dirinya merupakan suatu kesalahan jenayah sehingga mengakibatkan kerosakan termasuk menjejaskan reputasi dan nama baiknya dan Janna Nick Studios.

“Saya juga dimaklumkan pihak berkuasa, termasuk tetapi tidak terhad kepada pasukan polis, pegawai penyiasat dan pasukan peguam saya sedang dalam proses menyimpan segala rekod yang diterbitkan di Twitter, Instagram, Facebook dan semua media sosial yang memfitnah, membuat ugut jenayah serta menyebarkan tohmahan dan hashtag negatif membabitkan perkara ini untuk tindakan undang-undang.

“Ia akan mengakibatkan mereka disaman dan dihadapkan ke mahkamah kerana salahlaku mereka adalah suatu kesalahan jenayah yang serius dan/atau telah mengakibatkan kerosakan termasuk menjejaskan reputasi dan nama baik saya dan Janna Nick Studios bukan sahaja di dalam Malaysia bahkan di luar negara.

“Sama ada pesalahlaku ini sedar ataupun tanpa sedar, tindakan tidak bertanggungjawab yang mereka lakukan ini sama seperti mengada-adakan sesuatu yang tidak wujud malah diperbesar-besarkan dan ini mencalarkan imej negara dan kita sendiri secara amnya selaku rakyat Malaysia di kalangan pengguna media sosial dan dunia Maya global,” katanya menerusi kenyataan.

Janna memaklumkan telah memberi penjelasan menerusi video yang telah dimuat naik.

Namun terdapat individu terus membuat kenyataan fitnah apabila mengatakan dirinya mempersendakan mendiang Kim Jong-hyun serta Lisa Manoban.

Mengulas lanjut kata Janna Nick, dakwaan beliau menggelar Lisa Manoban sebagai ‘Lisa Blackpig’, Janna telah dipesongkan.

“Saya sendiri pernah berkolaborasi dengan pihak pengurusan serta artis Korea dalam kerjaya saya dan saya amat menghormati mereka. Ianya adalah amat pelik dan tidak boleh diterima akal untuk saya menggelar atau menyamakan nama besar dalam industri seperti Lisa Manoban Blackpink dengan sebarang nama yang mengaibkan.

“Namun begitu, saya telah dilemparkan dengan pelbagai tuduhan, ugutan jenayah dan serangan peribadi daripada pesalahlaku-pesalahlaku secara terang-terangan mahupun secara personal di mana mereka turut menyebarkan hashtag dan kata-kata kesat yang mengaibkan, menjatuhkan serta merosakkan nama baik saya serta Janna Nick Studios bukan setakat dalam negara bahkan di luar negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette