Konvoi kenderaan yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech yang dikawal ketat oleh Polis Diraja Malaysia dari pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) tiba di Kompleks Raya Airways, DHL Express (M), Subang Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 21 FEBRUARI 2021.
BARANG baik’ dari Puurs, Belgium selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 10.00 pagi pada Ahad. Di bawa menggunakan pesawat penumpang Airbus A330-300 milik Malaysia Airlines yang dihiasi Jalur Gemilang, barang baik ini menjadi detik mula perang kita melawan COVID-19 memasuki tahap baru.
Barang baik yang dimaksudkan adalah kumpulan pertama  312,390 dos vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech. Kehadiran vaksin ini akan menjadi barisan hadapan terkini untuk menguatkan benteng negara melawan pandemik COVID-19 di bawah inisiatif Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bakal menjadi program vaksinasi terbesar negara setakat ini dengan ia dilaksanakan dalam tiga fasa yang akan berjalan sepanjang tahun ini sehingga Februari 2022. Fasa pertama yang sepatutnya bermula pada 26 Februari ini diawalkan kepada 24 Februari seperti yang diumumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi  Khairy Jamaluddin semasa menyambut ketibaan vaksin ini di KLIA.
Benda baik buat apa ditangguh-tangguh bukan? Justeru keputusan terkini kerajaan menggerakkan lebih awal imunisasi ini amat baik, pertama ia memberi petunjuk positif kepada rakyat dan pelabur bahawa kerajaan serius dalam menjamin dan menjaga kesihatan dan keselamatan rakyatnya.Keduanya,  ia  memberi gambaran baik bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua pasukan yang terlibat menjayakan program imunisasi ini telah membuat persiapan yang tertinggi, teliti dan cemerlang.
Rakyat Malaysia tidak perlu ragu-ragu tentang keselamatan vaksin COVID-19 yang akan digunakan. Ini kerana, pemilihan vaksin dibuat oleh pakar-pakar tempatan selepas meneliti semua data dan bukti dari ujian klinikal dan melalui proses penilaian ketat dan semakan dari pelbagai aspek. Malahan melalui ujian klinikal melibatkan lebih 40,000 orang berumur antara 18 hingga 80 tahun dari pelbagai bangsa dan beberapa negara dan vaksin Pfizer didapati 95% berkesan mengurangkan gejala dan simptom COVID-19.
Dengan segala persiapan dan pelan tindakan yang telah disusun dengan baik, bekalan vaksin juga telah diterima dengan KKM telah acap kali memberi jaminan akan keselamatan penggunaan vaksin ini, langkah selepas ini pada pandangan penulis adalah memberi penerangan secara konsisten kepada masyarakat bagi memastikan mereka benar-benar faham tentang kepentingan dan kesan vaksin berkenaan.
Ini kerana telah ada kumpulan yang menyebarkan false message atau perkongsian info yang kurang tepat berkaitan virus dan vaksin ini menggunakan pelbagai platform media sosial sehingga mengelirukan masyarakat. Kerajaan perlu memanfaatkan segala agensi yang berkaitan dengan turut melibatkan pakar-pakar kesihatan, ahli akademik yang berada institusi pengajian tinggi dan agamawan untuk memberi informasi yang tepat kepada rakyat. Kegagalan untuk menangani aspek ini boleh merisikokan kegagalan kepada Program Imuniasi COVID-19 Kebangsaan sekaligus gagal merendahkan dan mengawal kadar jangkitan virus ini di dalam negara.
Pastinya semua pihak meletakkan harapan selepas selesai fasa terakhir nanti, sasaran kerajaan untuk memastikan 26.5 juta orang atau 80 peratus populasi negara menerima suntikan tercapai seterusnya berjaya membentuk herd immunity yang besar untuk mengawal jangkitan COVID-19. Seperti yang dikatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketibaan vaksin pada semalam adalah satu peristiwa bersejarah dan merupakan simbolik kepada segala usaha, keringat, air mata dan pengorbanan dalam menghadapi cabaran pendemik COVID-19 selama ini.
Seruan penulis, walaupun setelah menerima suntikan vaksin selepas ini, rakyat sepatutnya tetap perlu terus mengamalkan kehidupan norma baharu seperti penjarakan fizikal, penggunaan cecair pembasmi kuman dan elak berada di tempat orang ramai yang berisiko. Tiada siapa yang selamat sehingga semua selamat dari COVID-19! TAMAT
Saya yang menjalankan amanah
Mohd Zaini Othman
Timbalan Pengarah
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)