Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia 2020 (SPM) membuat ulangkaji akhir sebelum memasuki dewan peperiksaan bagi mengambil kertas Bahasa Melayu Kertas 1 dalam pembudayaan norma baharu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Menengah Setiabudi. Gombak, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Hari ini, calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bukan sahaja perlu membudayakan norma baharu tetapi juga mencipta sejarah tersendiri dalam lakaran pendidikan negara.

Selepas mengikuti sesi kelas tahunan terpanjang selama hampir 14 bulan – hari ini mereka dibenarkan menduduki peperiksaan SPM walaupun sudah berganjak tahun 2021.

Berikutan penularan wabak Covid-19, pelajar Tingkatan Lima di negara ini hanya sempat mengikuti pembelajaran bersemuka sekitar empat bulan pada tahun lalu.

Mereka seterusnya terpaksa membiasakan diri dengan kelas dalam talian menerusi aplikasi Google Meet, Google Classroom, Zoom atau Skype.

Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia 2020 (SPM) memeriksa suhu badan sebelum masuk ke sekolah bagi menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 dalam pembudayaan norma baharu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Menengah Setiabudi. Gombak, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 FEBRUARI 2021.

Kumpulan pelajar Tingkatan Lima termasuk pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM) itu menjadi kumpulan pertama yang menduduki peperiksaan SPM dalam norma baharu.

Setelah mempersiapkan diri, hari ini para pelajar calon SPM 2020 mula menduduki subjek Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2 bermula pukul 8 pagi.

Biasanya, ketika melangkah masuk ke dewan peperiksaan, pelajar hanya perlu membawa alat tulis dan kad pengenalan namun dalam suasana negara masih berdepan pandemik – mereka wajib membawa pelitup muka, sanitasi tangan dan penjarakan sosial sebagai langkah pencegahan penularan wabak.

Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia 2020 (SPM) memegang alat tulis bagi menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 dalam pembudayaan norma baharu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Menengah Setiabudi. Gombak, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 FEBRUARI 2021.

Tinjauan MalaysiaGazette di Sekolah Menengah (SM) Setiabudi di Gombak mendapati, setiap pelajar wajib menjalani saringan kesihatan yang ketat di pekarangan sekolah sebelum berkumpul untuk sesi taklimat SPM.

Selain pemeriksaan suhu badan, beberapa guru turut menunggu ketibaan pelajar bagi memastikan mereka menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP).

Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia 2020 (SPM) menjawab soalan peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 dalam pembudayaan norma baharu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Menengah Setiabudi. Gombak, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 FEBRUARI 2021.

Sejurus sesi taklimat berakhir, bacaan doa pula dibaca sebelum seorang wakil pelajar tampil ke hadapan dan melaungkan kata-kata semangat diikuti sorakan rakan-rakannya yang lain.

Menurut Pengetua SM Setiabudi, Faeiza Jumari, seramai 109 calon menduduki peperiksaan SPM hari ini.

Faeiza Jumari. Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 FEBRUARI 2021.

Katanya, detik yang dinantikan-nantikan oleh pelajar dan juga guru kini tiba selepas mereka melangkah masuk ke dalam dewan peperiksaan.

“Anak-anak pun sudah tidak sabar untuk menduduki SPM dan ia merupakan cabaran terbesar buat sekolah dan juga seluruh pelajar di negara ini secara amnya.

“Persediaan memang agak mencabar kerana kita tidak boleh berdepan atau bersemuka dan tertumpu kepada kelas dalam talian selain kita sendiri ada aturkan Projek Gemilang SPM 2020.

“Selain itu kita turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk aturkan program motivasi, bengkel online serta kelas tambahan yang dibenarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Sementara itu Yang Dipertua PIBG SM Setiabudi, Datuk Azemi Mohamad Isa menyatakan ibu bapa mengharapkan keputusan yang terbaik daripada pelajar yang menduduki peperiksaan selepas berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mengikuti pembelajaran.

Datuk Azemi Mohamad Isa. Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 FEBRUARI 2021.

Berdasarkan makluman daripada pihak sekolah,menurutnya, mereka menjangka kira-kira 30 pelajar mampu mencapai keputusan cemerlang dalam SPM 2020.

Untuk rekod, peperiksaan SPM, SVM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diadakan pada November setiap tahun namun bagi tahun 2020, peperiksaan terbabit terpaksa ditangguh kepada Januari 2021 sebelum dianjak sekali lagi kepada Februari 2021 berikutan penularan pandemik Covid-19 yang memaksa penutupan sekolah. – MalaysiaGazette.