Gambar fail
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Enam kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan hari ini.

Salah satu daripada kes kematian itu melibatkan seorang warga asing yang juga remaja berusia 17 tahun, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Selain itu, menurutnya, Selangor merekodkan dua kes kematian manakala selebihnya masing-masing satu kes direkodkan di Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Katanya, lima daripadanya membabitkan warga tempatan manakala seorang warga asing sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini mencecah sebanyak 1,062 kes.

“Pemuda berusia 17 tahun yang meninggal dunia akibat Covid-19 dilaporkan di Johor adalah seorang warga asing yang mana jenazahnya dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

“Dua kematian di Selangor melibatkan seorang wanita warga emas berusia 76 tahun dan lelaki tua berusia 84 tahun yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, di Pahang, seorang lagi lelaki tempatan berusia 25 tahun meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan berlatar belakang penyakit Mediastinal Tumour.

Satu kes di Sabah pula menyaksikan seorang wanita berusia 50 tahun meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

“Mangsa mempunyai lalar belakang penyakit darah tinggi dan kanser paru-paru.

“Akhirnya kematian keenam pula menyaksikan seorang lelaki tempatan di Sarawak berusia 59 tahun yang meninggal dunia di Hospital Sibu,” tegasnya.-MalaysiaGazette