discharged acquitted Ku Nan Tengku Adnan Tengku Mansor free conviction Tadmansori Holdings Aset Kayamas Chai Kin Kong corruption conviction
Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Mana-mana pemimpin yang mahu kembali menyertai UMNO perlu masuk bengkel atau kelas dahulu bagi memahami asas dan tujuan penubuhan parti itu.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mereka perlu memahami dan menghayati setiap nilai perjuangan parti ini kerana tidak adil kepada mana-mana individu untuk berpatah balik semudah membuat u-turn di atas jalan raya.

Menurut beliau, biarpun pentas politik sentiasa berubah namun ketegasan terhadap mereka yang bermuka-muka perlu dilaksanakan kerana tentulah tak wajar pada mana-mana individu yang menjilat ludah untuk diangkat sebagai teraju.

Walhal anggota yang kekal bersetia saat susah dan senang hanya memandang dan diminta menerima.

”Memang, kita perlu kembali berpadu demi agama dan bangsa, kita mesti teguh dan kukuh, kita bersaudara dan tidak perlu bermusuhan, tetapi setiap masa yang berlalu selepas tarikh 9 Mei 2018 bukanlah satu kemanisan dan mesti dinilai dengan kesetiaan dan pengorbanan.

”UMNO ditekan, dihimpit, dinafikan dalam pelbagai aspek. Akaun dibekukan dan mana-mana pemimpinnya yang masih setia pada perjuangan hakiki diheret ke mahkamah atas macam-macam pertuduhan yang ada diantaranya di luar kewarasan akal fikiran.

”Tuduhan tanpa asas tiba-tiba menjadi realiti. Sakit perit tapi patah sayap tetap bertongkat paruh kerana percaya bahawa asas perjuangan adalah demi Lillahi Taala,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam kenyataannya itu, Ahli Parlimen Putrajaya yang mesra disapa Ku Nan mengakui beliau berasa pelik kerana sejak beberapa hari ini kedengaran suara-suara yang menyatakan masih sayangkan UMNO.

”…mulalah mengakui UMNO banyak berjasa, UMNO itu… UMNO ini… dan masih nama UMNO juga dijaja dalam pentas politik mereka biarpun mereka bukan lagi ahli UMNO. Apa rasa… tentulah seakan sebuah sandiwara semasa,” tambah beliau.

Secara sinis, Ku Nan berkata, beliau rasa kelakar apabila ada individu yang dulu melompat meninggalkan UMNO sewaktu UMNO hilang kuasa majoriti membentuk kerajaan tapi hari ini mula bersuara ‘manis’.

Ada juga pihak yang tak henti-henti menyentuh tentang UMNO hinggakan menggesa supaya memaklumkan apa-apa keputusan mesyuarat kepimpinan UMNO sedangkan mereka ini bukan ahli UMNO.

Ada juga yang membandingkan pentadbiran kerajaan hari ini mahupun sewaktu kerajaan Pakatan Harapan dengan zaman Barisan Nasional.

”Tak apalah, kan tempat jatuh lagi dikenang, apatah lagi tempat yang telah menaikkan nama dan jadi batu loncatan mereka untuk mendapat kuasa.

“Mereka ini bersama UMNO dan mengaku orang UMNO sewaktu parti berada dalam kejayaan, kecemerlangan dan gemilang bukan saja dalam negara malah dipersada antarabangsa, tapi meninggalkan UMNO malah ada yang menjadi sekutu menjatuhkan kerajaan BN lantaran rasa tak puas hati terhadap UMNO,” tegas beliau.

Tambahnya, sepanjang tempoh UMNO bergelar pembangkang dan menjadi sebahagian kerajaan hari ini, terlalu banyak pengajaran dan pelajaran yang boleh dijadikan tauladan.

”Siapa sebenarnya pejuang sebenar untuk agama, bangsa dan negara… siapa pula petualang yang menjadi bahana hinggakan rakyat duka lara… tapi masih nama UMNO juga dipalitkan.

”Sungguh, UMNO terbukti parti keramat. UMNO menaikkan nama seseorang individu dari orang biasa menjadi pemimpin ternama hinggakan ada yang menjadi negarawan, tapi kerana ketidakpuasan rasa, UMNO juga djadikan alat kebencian dan cuba dipersalahkan atas pelbagai kesalahan peribadinya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.