Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

KUALA LUMPUR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyifatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebagai permulaan kepada pemulihan ekonomi sekaligus memberi kesan positif kepada rakyat keseluruhannya.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, implikasi positif daripada program ini dalam masa yang sama akan dinikmati oleh ANGKASA dan ahli-ahlinya.

“ANGKASA berharap melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, semua rakyat Malaysia dapat menikmati impak positif dalam menjalani kehidupan seharian dengan
mengamalkan norma baharu malah aktiviti dan pemulihan ekonomi koperasi juga dapat terus dipacu bagi memberi manfaat kepada anggota, masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian secara dalam talian Program Webinar ‘Mengapa, Kenapa dan Keperluan Vaksinasi Covid-19 dan Pelancaran Kempen Imunisasi Covid-19’ di Wisma Ungku A.Aziz dekat sini hari ini.

Ujar Abdul Fattah, sebagai koperasi negara yang diiktiraf kerajaan,  sebanyak 6.1 juta anggota  menyokong penuh usaha kerajaan dalam memerangi penularan wabak Covid-19 melalui program berkenaan.

Terdahulu, ANGKASA dalam pelancaran Kempen Imunisasi Covid-19  turut mengupas kepentingan program vaksinasi dengan kehadiran pakar kesihatan yang berpengalaman untuk memberi kesedaran kepada warga koperasi dan masyarakat.

Menurut Abdul Fattah, ANGKASA melalui sektor pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan telah mewujudkan Jaringan Coop Farmasi bagi menggalakkan koperasi supaya terlibat dalam sektor farmaseutikal untuk memberi pilihan barangan kesihatan kepada pengguna dengan harga kompetitif dan diyakini halal serta selamat untuk digunakan.

Sehingga kini ANGKASA telah membuka tujuh buah farmasi di bawah jenama Coop Farmasi meliputi satu kedai penjagaan kesihatan di bawah jenama CoopWellness.

Sebanyak 10 buah Coop Farmasi dijangka akan dibuka pada tahun ini.- MalaysiaGazette