Selepas mengalami tempoh setahun tanpa pendapatan, separuh pemandu bas sekolah telah bertukar kerja untuk meneruskan kehidupan.

KUALA LUMPUR – Ibu bapa diminta bersedia berdepan dengan kemungkinan perkhidmatan bas sekolah tidak lagi mampu menampung permintaan mereka seperti dahulu.

Ini bakal menjadi masalah dalam proses anak-anak mereka kembali semula ke sekolah pada 1 Mac ini.

Puncanya, banyak kawasan tidak mempunyai perkhidmatan bas sekolah ekoran para pengusahanya ‘bercuti lama’ sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, hampir separuh pengusaha bas di seluruh negara sudah bertukar bidang ekoran tidak mampu untuk bertahan kerana tiada punca pendapatan sepanjang pandemik.

“Oleh kerana sudah setahun bas sekolah tidak jalan, pengusaha alami kerugian. 50 peratus pengusaha sudah tukar bidang seperti berniaga, jual air tebu, jual makanan dan banyak lagi. Kos nak mula balik tinggi, kena bayar cukai, insurans. Mereka pun tidak berani bawa bas lagi.

“Jadi beberapa kawasan seluruh negara tidak ada bas sekolah. Ibu bapa kena bersedia hantar dan ambil anak dari sekolah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat awal Mac nanti.

Sehingga kini, menurut Rofik, hanya tinggal lebih kurang 7,000 pengusaha bas sekolah seluruh negara yang masih bertahan.

Namun rata-rata daripada mereka masih belum membuat keputusan sama ada mahu meneruskan perkhidmatan atau sebaliknya kerana bimbang berhadapan risiko kerugian sekiranya sesi persekolahan ditangguh lagi.

Tambah Rofik, mereka semakin bimbang apabila pembukaan semula sesi persekolahan dibuat secara berperingkat.

“Banyak takut rugi kali kedua buat persediaan beribu-ribu ringgit,” akuinya.

Bagaimanapun selaku Presiden GPBSM, Mohd Rofik tetap menggalakkan semua pengusaha bas sekolah untuk meneruskan perkhidmatan.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertimbangkan semula keputusan memulakan sesi persekolahan secara berperingkat.

Ujar beliau, sekiranya sesi persekolahan dibuka secara serentak maka pengusaha bas akan lebih yakin untuk meneruskan perkhidmatan.

“Ada yang bimbang sebab pembukaan sekolah dibuat separuh-separuh. Darjah 1 dan 2 pada 1 Mac kan. Darjah 3 hingga 6 akan mula hadir ke sekolah 8 Mac depan.

“Jadi mereka kurang yakin dan bimbang. Kita minta KPM kaji umum sekolah bukan serentak jadi budak sekolah penuh dalam van dan bas jadi boleh dapat menagnggung kos operasi dan mendapat sedikit kos keuntungan.

“SOP sekolah sudah ada, SOP pengangkutan sudah ada, kita pun bersedia patuhi SOP bas,” katanya lagi.

Untuk rekod, KPM mengumumkan pembukaan sesi persekolahan bagi sekolah rendah pra sekolah, Tahun satu dan dua di pada 1 Mac 2021.

Manakala murid Tahun 3 hingga 6 mula bersekolah pada 8 Mac.

Pada peringkat menengah pula, KPM mengambil pendekatan untuk membuka semula sekolah menengah pada 4 April depan mengikut negeri masing-masing.-MalaysiaGazette