Murid kembar tahun enam, Adam Afeeq (tengah) dan Adam Aqeef (kanan) mengikuti kelas dalam talian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bukit Antarabangsa, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 20 JANUARI 2021.

SETELAH mendengar pengumuman tentang sekolah akan dibuka, kedengaran sorakan anak-anak meluahkan rasa seronok dan lega setelah sekian lama hasrat mereka untuk berada di sekolah menjalani pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas bakal menjadi kenyataan.

Pengumuman ini juga melegakan ibu bapa setelah sekian lama agak tertekan menguruskan anak-anak menjalani pdpr di rumah. Merisaukan lagi bila anak-anak semakin hari semakin menurun motivasi mereka untuk menjalani PdP di rumah.

Namun ada juga ibubapa yang mengeluh dengan pengumuman tempoh hari. Apa tidaknya, pelbagai alat peranti telah dibeli, telah banyak kos telah di belanjakan. Begitu juga dengan para guru yang sudah banyak berbelanja membeli pelbagai alatan atau gajet, malah ada yang sudah menyediakan mini studio di rumah masing-masing.

Walaupun keputusan yang dibuat ini mengejutkan ramai pihak, kita harus berlapang dada dengan apa jua keputusan kerajaan. Mengambil kira hak anak-anak, ada baiknya sekolah dibuka supaya hak anak-anak untuk mendapat pendidikan tertunai dan kadar keciciran juga dapat dikurangkan.

Walau bagaimanapun, kita tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Usah berasa ralat dengan pelaburan peralatan untuk pendidikan anak-anak.

Mungkin ada keluarga yang masih perlu berada di rumah atas arahan kuarantin, mungkin juga masih ada ibubapa yang belum bersedia menghantar anak-anak ke sekolah. Sekiranya hal ini berlaku, pihak guru masih boleh menghantar tugasan melalui aplikasi google classroom, whatsapp atau telegram, dan ibubapa atau anak-anak masih boleh menggunakan alatan atau gajet tersebut untuk tujuan pembelajaran.

TV Pendidikan juga perlu terus diperkasakan kerana ia sangat membantu anak-anak yang terpaksa berada di rumah. Bahan pembelajaran ini akan membantu agar anak-anak tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA menyambut baik dan melihat pembukaan sekolah ini sedikit sebanyak boleh membantu perkembangan sosial dan psikologi kanak-kanak yang sudah lama tidak dapat bersemuka dengan rakan-rakan sebaya. Kami berharap ianya dapat meningkatkan kembali motivasi dan semangat kanak-kanak untuk belajar dan kembali bersosial dengan murid lain dalam norma baharu.

Oleh: Asma Ahmad
Timbalan Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA