Sindiket urus jual beli dadah di tengah laut dilumpuhkan selepas polis rampas syabu bernilai RM9.4 juta.

GEORGE TOWN – Taktik sindiket pengedaran dadah menjadikan kawasan perairan negara sebagai tempat urusan jual beli bahan terlarang itu berjaya dibongkarkan dalam beberapa serbuan di sekitar Pulau Pinang sejak Rabu lalu.

Operasi selama dua hari itu membawa kepada penangkapan lima suspek termasuk dua lelaki warga Indonesia yang dalam perjalanan untuk mendapatkan bekalan dadah jenis syabu bagi pasaran di Aceh, Indonesia.

Turut dirampas dalam empat serbuan itu syabu seberat 263.7 kilogram bernilai RM9.4 juta.

Datuk Sahabudin (kiri) menunjukkan syabu bernilai RM9.4 juta yang dirampas polis pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

MalaysiaGazette difahamkan urusan jual beli dadah itu bernilai RM5,000 bagi setiap transaksi dan mereka juga mengubah suai bot dengan kelajuan lain agar mudah meloloskan diri sekiranya bertembung dengan pihak berkuasa di kawasan perairan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Shahabudin Abd Manan berkata, tangkapan pertama membabitkan dua lelaki Indonesia berusia 29 dan 33 tahun di perairan Teluk Tempoyak oleh Pasukan Marin Wilayah 1 pada jam 6.30 petang.

Katanya, berpandukan maklumat daripada suspek polis berjaya menahan seorang pengganggur di jeti haram Sungai Keluang, Bayan Lepas pada keesokan hari.

Jelas Sahabudin, serbuan jam 4 pagi di jeti nelayan itu membolehkan pihaknya merampas 130 bungkus syabu dalam sebuah bot gentian kaca.

“Turut ditemui 115 bungkus syabu dalam sebuah kereta jenis Mazda yang telah diubah suai.

“Soal siasat terhadap suspek tempatan itu membawa kepada tangkapan seorang nelayan berusia 54 tahun yang juga dalang utama dalam urusan jual beli dadah untuk pasaran di Aceh.

“Susulan itu, kita menahan seorang lagi lelaki yang juga pemilik bengkel pembaikan bot di Juru,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Dalam empat serbuan tersebut, polis turut menyita empat buah kenderaan, wang tunai serta barang kemas berjumlah RM186,950.

Antara kereta yang dirampas polis termasuk Mercedes Benz, BMW dan Mazda.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati sindiket ini aktif melakukan urusan jual beli dadah di perairan sejak Disember lalu.

“Kita tidak menolak kemungkinan sindiket memilih jalan laut sebagai laluan penghantaran dadah susulan PKP pergerakan di darat agak terhad.

“Kita percaya dengan tangkapan ini polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang menjadi negara sebagai lokasi transit sebelum bahan larangan itu diseludup ke negara jiran,” ujarnya.

Tambah beliau, kesemua lima lelaki itu ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette