KUALA LUMPUR – Berkuatkuasa serta-merta, pasar raya Village Grocer di Lembah Kelang dan Johor tidak lagi membekalkan beg plastik sekali guna di kaunter pembayaran.

Langkah ini bagi menghindari penggunaan enam juta beg plastik, menggurangkan sisa plastik dan mendekatkan pelanggan dengan ekonomi kitaran.

Dikendalikan oleh The Food Purveyor (TFP), yang juga menguruskan Ben’s Independent Grocer (B.I.G.), BSC Fine Foods dan Pasaraya OTK, inisiatif ini selari dengan matlamat kelestarian alam sekitar TFP “Bebas Plastik menjelang 2023” yang bertujuan untuk menghilangkan semua plastik sekali pakai dari operasi perniagaannya sebelum akhir tahun 2023.

Ia juga mempromosikan alternatif yang dapat digunakan semula dan berkelanjutan untuk memupuk perubahan tingkah laku jangka panjang.

Langkah pertama menyaksikan TFP menghentikan penggunaan beg plastik sekali guna di kaunter pembayaran di B.I.G. pada Oktober 2020, diikuti dengan mmeperkenalkan penggunaan beg jaring yang boleh digunakan semula untuk buah-buahan dan sayur-sayuran segar di Village Grocer dan B.I.G. untuk menggantikan beg plastik yang sering digunakan pembeli untuk membungkus bahan makanan yang ditimbang, awal tahun ini.

Secara keseluruhan, TFP menjangkakan menghindari sekitar 30 juta bungkusan dan beg plastik sekali guna pada akhir 2021.

Dalam kajian 2019 yang dilaksanakan oleh WWF, Malaysia mempunyai penggunaan plastik per kapita tahunan tertinggi, iaitu 16.78 kg per orang berbanding negara-negara ASEAN yang lain.

Dari segi sampah plastik, Malaysia menduduki tempat kedua tertinggi dalam keseluruhan sisa dihasilkan.

“Kami menghentikan pembekalan beg plastik sekali guna di pasaraya kami dan mendorong momentum dalam mempengaruhi tingkah laku pelanggan kami untuk membawa beg yang boleh digunakan semula dan memberi ganjaran kepada mereka melalui program kesetiaan pelanggan Bites.

”Semakin banyak mereka menggunakan beg yang boleh digunakan semula, semakin banyak ganjaran diberikan, dan kitaran itu berlanjutan dan tidak ada beg plastik yang “terlepas” kepada persekitaran.

TFP berharap dapat memimpin melalui teladan, menyumbang ke arah Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan memberi inspirasi kepada peruncit lain untuk mengambil inisiatif yang sama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TFP, Geoff King. – MalaysiaGazette