Pusat Sukan USIM telah memulakan langkah dengan mengusahakan kawasan terbiar di sekitar Kompleks Sukan Tunku Najihah melalui projek prosumerisme program tanaman nanas MD2.

KUALA LUMPUR – Pusat Sukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah memulakan langkah dengan mengusahakan kawasan terbiar di sekitar Kompleks Sukan Tunku Najihah melalui projek prosumerisme, program tanaman nanas MD2.

Projek itu dilakukan bagi menyahut saranan Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam merealisasikan konsep prosumer di universiti tersebut.

Bermula Februari 2020, pusat sukan itu telah mengusahakan secara kecil-kecilan tanaman nanas MD2, namun pada Julai 2020 aktiviti riadah diberhentikan akibat pandemik Covid-19.

USIM usaha kawasan terbiar, babgunkan projek promurisme tanaman nanas MD2.

Menurut Pegawai Belia dan Sukan USIM selaku ketua projek berkenaan, Nur Ekhmal Buhary berkata, prosumerisme merupakan konsep yang mampu menjamin kelestarian sumber dan mengurangkan kebergantungan sesuatu entiti terhadap sumber luar.

“Ia merupakan agenda yang boleh menghasilkan impak tinggi kepada USIM jika dilaksanakan dengan baik.

“Penyediaan kertas kerja ini bertujuan untuk menerangkan pelaksanaan agenda Prosumerisme dalam kalangan warga USIM, khususnya pelajar, alumni dan staf.

“Usaha ini adalah untuk memperkasa kemahiran warga USIM dalam mendepani cabaran global yang tidak menentu,” katanya.

Tambah Nur Ekhmal, objektif utama pelaksanaan projek ini adalah untuk meningkatkan penglibatan warga USIM dalam agenda Prosumerisme dengan mengurangkan kebergantungan warga USIM terhadap sumber luar dengan pelaksanaan tiga projek yang dicadangkan untuk meningkatkan pendapatan warganya terutama golongan B40 meneruskan kelangsungan hidup.

Projek tjanaman ini telah mendapat sambutan beberapa kakitangan USIM dengan memulakan penanaman awal sebanyak 1000 pokok menggunakan peruntukan kakitangan USIM yang terlibat.

“Ia juga bagi meningkatkan bilangan syarikat milik warga USIM yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta meningkatkan bilangan inkubator keusahawanan berasaskan prosumerisme di dalam USIM.

“Perkara ini dilakukan bagi menjana ekonomi Negara yang mampan dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0,” jelasnya.

Mengulas lebih lanjut, Nur Ekhmal berkata, Pusat Sukan telah dipilih sebagai peneraju Projek Prosumer Nanas MD2 peringkat universiti.

“Setakat ini, sesi Asas Pra Pengenalan Tanaman Projek Prosumer Nenas MD2 telah dilaksanakan dengan penglibatan 25 peserta yang dijalankan di Pusat Sukan.

“Selain itu, penyediaan Stater Kit Tanaman iaitu 50 sulur dan 10 beg tanah organik, polybeg dan baja telah diagihkan kepada Pusat Tanggungjawab (PTj) Jabatan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan dan Jabatan Keselamatan, Pusat Kesihatan Universiti, Pusat Perumahan Pelajar & Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan.

“Tambahan lagi, projek penanaman Polybeg MD2 bersama komuniti di Banting dan Surau Al-Falah Mantin telah berjaya dilaksanakan baru-baru ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette