Vaksin Pfizer-BioNTech

ALHAMDULILLAH, vaksin Covid-19 pertama sebanyak 312,390 dos selamat tiba di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia pagi Ahad, 21 Februari 2021.

Walaupun Bawah Kolong (BK) bukanlah antara yang tersenarai akan disuntikkan vaksin itu dalam kategori pertama, tetapi dengar bekalan itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.07 pagi pun, hati dah rasa lega dan terharu.

Lagi terharu, pilot yang terbangkan pesawat Airbus 330-300 itu adalah warganegara Malaysia, anak kelahiran Tumpat, Kelantan, Kapten Hamdan Che Ismail. Sungguhpun BK kelahiran Pasir Mas, tapi kiranya kami berjiranlah. Hanya rentas daerah saja.

Jadi, apa yang BK nak bincangkan di sini, ialah kegunaan vaksin ini. Ianya dihasilkan secara bersama oleh firma farmaseutikal Amerika Syarikat Pfizer dan syarikat Jerman BioNTech.

Awalnya, banyak pro dan kontra mengenai vaksin ini. Ada yang beri pandangan negatif, tak sedikit beri pandangan positif. Itu sudah lumrah, lebih lagi dicampur adukkan dengan politik oleh pihak tertentu.

Yang penting, kerajaan dah berusaha untuk selamatkan lebih 33 juta rakyatnya. Berbilion ringgit kerajaan belanjakan untuk dapatkan bekalan vaksin ini, bagi pastikan rakyat Malaysia diberi imunisasi.

Berkesan atau tidak. Berjaya atau tidak vaksin ini. Kita saksikan pada 26 Februari ini. Tanpa berahsia, tanpa berlindung, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan rela hati untuk menerima suntikan pertama vaksin berkenaan.

Kenapa dia sanggup jadi sukarelawan? Sebab, untuk tunjuk dan buktikan kepada rakyat, jika vaksin itu bahaya, dialah yang pertama akan terima akibatnya, dan, jika vaksin itu berkesan, maknanya rakyat akan selamat dari penyakit berjangkit wabak Covid-19.

Ini kiranya pengorbanan besar seorang pemimpin negara, yang siang malam memikirkan dan merencanakan bagaimana nak selamatkan nyawa rakyat. Kita patut bersyukur dan berterima kasih. Terima kasih PM.

Selepas Perdana Menteri menerima suntikan pertama itu, maka suntikan kedua dan seterusnya diberikan kepada para petugas barisan hadapan seperti petugas kesihatan, petugas dalam perkhidmatan penting dan keselamatan.

Kenapa mereka ini didahulukan, bukan orang lain? Sebab dari awal mula serangan Covid-19, golongan inilah yang diarahkan ke depan untuk memberi rawatan, untuk menjaga pintu masuk dan keluar negara dan menjadi benteng dari serangan wabak itu.

Tidak sedikit dari mereka dijangkiti dan jatuh sakit. Bahkan, ramai dari mereka meninggal dunia akibat dijangkiti virus yang paling bahaya itu. Jadi, sangat wajarlah mereka diberikan suntikan vaksin itu.

Sihat mereka, sihatlah kita. Sakit mereka, sakitlah kita. Itulah yang harus kita pegang, selain anggap mereka adalah dahan tempat kita bergantung, rumah tempat kita berlindung. Bayangkan, kalau dahan itu reput, rumah itu dalam keadaan daif. Dapatkah kita bergantung dan berlindung?

Oleh itu, kita jangan bimbang, kerana akan tiba juga giliran untuk kita diberikan suntikan vaksin itu. Kalau tidak fasa kedua, fasa ketiga kita akan terima juga.

Kalau mengikut perkiraan kerajaan, suntikan vaksin fasa kedua akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi bermula April hingga Ogos ini, manakala fasa ketiga melibatkan orang dewasa yang berusia 18 tahun ke atas bermula Mei ini hingga Februari 2022.

Lebih terperinci, jadualnya seperti ini: Fasa pertama bermula 26 Februari hingga April 2021; Fasa kedua bermula April hingga Ogos 2021; dan Fasa ketiga bermula Mei hingga Februari 2022.

Fasa kedua untuk 9.4 juta penduduk. Mereka ialah petugas dalam perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan penting dan keselamatan serta yang berumur 65 tahun ke atas, kumpulan berisiko menghidap penyakit kronik seperti jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi serta orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga pula untuk 13.7 juta penduduk yang berumur 18 ke atas dan keutamaan diberikan kepada mereka yang tinggal di kawasan zon merah, kuning dan hijau Covid-19.

Kita patut bersyukur, dengan adanya vaksin ini, kita tidak lagi mudah diserang virus Covid-19. Sekurang-kurangnya vaksin ini bertindak sebagai benteng yang akan mempertahankan tubuh badan kita dari diserang virus itu.

Sebab itu, bila negara kita diserang pandemik Covid-19, ramai dalam kalangan kita terutama warga emas, yang berpenyakit kronik atau lebih tepat yang bertubuh lemah, mudah diserang.

Macam mana doktor, jururawat, polis yang kuat tubuh badan terkena pun boleh juga terkena jangkitan dan ada yang meninggal? Mereka itu hari-hari berdepan dengan wabak dan virus, mana boleh tahan.

Dalam keadaan macam ni, sesiapa saja yang sihat dan sasa kalau diserang bertalu-talu oleh virus itu, boleh lemah dan tewas.

Sebab itu, apabila ada negara berjaya hasilkan vaksin, kerajaan Malaysia bersetuju untuk membelinya. Persetujuan ini pula bukan dibuat secara membabi buta. Sudah tentu kerajaan hantar pakar-pakarnya untuk buat ujian dan kajian terlebih dahulu.

Jika vaksin itu berkesan, barulah kerajaan capai persetujuan untuk beli. Bukan setuju tanpa usul periksa. Kerajaan lebih arif daripada kita.

Bahkan, kerajaan juga mendapatkan pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menentukan vaksin ini halal atau haram. Harus atau makruh jika digunakan untuk orang Islam.

Majlis Fatwa Kebangsaan pula ada pakarnya sendiri. Uji terlebih dahulu kandungan vaksin itu dan jika semua bahan digunakan dipastikan baik untuk kegunaan umat Islam, barulah Majlis Fatwa Kebangsaan keluarkan fatwa. Dan hukumnya harus.

Apa lagi yang kita nak ragu-ragukan status vaksin itu. Majlis Fatwa lebih arif pasal ilmu agama dan ilmu hukum hakamnya dari kita, maka kita kena berlapang dada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast