Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin melihat barangan yang disyaki tiruan dijual secara borong di Pudu, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Lebih 210,000 unit barangan tiruan dengan nilai melebihi RM5.27 juta juta dirampas dalam serbuan di empat premis gudang di Pudu di sini, hari ini.

Rampasan itu yang terbesar dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur (KL) sepanjang tahun ini.

Serbuan yang bermula jam 12 tengahari itu mendapati sebuah premis dijadikan kedai jualan secara borong manakala tiga buah premis lagi dijadikan tempat penyimpanan barang-barang yang disyaki tiruan terdiri daripada aksesori telefon dan peralatan elektronik berjenama.

Pengarah KPDNHEP KL, Ariffin Samsudin berkata, kesemua barang-barang tersebut telah disita kerana disyaki menggunakan cap dagangan secara tidak sah.

Beliau berkata, pemilik premis itu didapati menjual barangan tersebut secara atas talian dan secara borong dengan pembelian minima RM500 serta mengedarkan barangan tersebut di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Serbuan ini berjaya hasil daripada risikan selama tiga minggu bermula dari maklumat penjualan secara atas talian.

“Pasukan serbuan telah menyita barangan berjenama tersebut yang dianggarkan berjumlah 210,000 unit.

“Jumlah sitaan bagi operasi ini dianggarkan bernilai RM5.27 juta dan siasatan lanjut akan dibuat terhadap peniaga terbabit di bawah Akta Cap Dagangan 2019,” katanya pada sidang media selepas operasi serbuan secara eksklusif bersama MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin bercakap kepada media selepas mengadakan operasi serbuan premis yang disyaki menjual barangan tiruan secara borong di Pudu, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 FEBRUARI 2021.

Ariffin menambah, berdasarkan kepada statistik penghasilan kes sepanjang tahun 2021, sebanyak lapan kes telah terhasil di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan nilai rampasan sebanyak RM5.5 juta.

Jelas beliau, penalti bagi kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 jika disabit dengan kesalahan adalah sekiranya orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu.

Ujar beliau, bagi kesalah kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu.

“Atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, denda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Ariffin berkata, kementerian memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana orang supaya tidak melanggar undang-undang khususnya melibatkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan.

Tambah beliau, sebarang aduan boleh disalurkan antaranya melalui portal KPDNHEP: www.kpdnhep.gov.my, Pusat Panggilan 1800 886 800, emel ke [email protected] atau Whatsapp ke 019- 279 4317. – MalaysiaGazette

Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memeriksa barangan yang disyaki tiruan yang dijual secara borong di Pudu, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 FEBRUARI 2021.