Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bersama Ketua Pertanian Bersepadu FGV, Abdul Razak Aya (dua kanan) melakukan gimik perasmian Beras SAJI pada Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di antara kementerian dan syarikat peneraju di Wisma Tani, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 23 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hari ini menjalinkan kerjasama dengan sebelas syarikat peneraju bagi membangunkan 150,000 hektar tanah semusim bagi fasa pertama secara berperingkat.

Program untuk merealisasikan sasaran 75 hingga 80 peratus tahap sara diri (SSL) negara diolah bagi membolehkan pihak swasta membantu menguruskan tanah-tanah sawah yang ada di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pendapatan pesawah dalam pada masa yang sama bagi meningkatkan produktiviti padi beras tempatan.

“Kita sasarkan kebergantungan ataupun kesediaan kita untuk mencapai SSL 70 peratus pada ketika ini dan mengimport 30 peratus. Kita boleh tingkatkan ke satu tahap yang lebih tinggi dan sasarkan oleh kerajaan lima tahun akan datang di bawah Rancangan Malaysia ke 12, produktiviti padi beras harus dicapai 75 peratus SSL.

“Sebab itu pelbagai pendekatan dan model yang dirangkakan kementerian sekian lama dan hari ini merupakan model baharu ladang berskala besar yang dibuat oleh kerajaan.

“Kita harapkan pendekatkan ini dan penglibatan pihak swasta secara langsung dan tidak langsung dalam pengurusan tanah-tanah sawah ini akan dapat capai matlamat meningkaktan SSL dan pendapatan para pesawah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian  pada sidang media selepes menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Projek Smart Sawah Berskala Besar (SBB) di antara kementerian dan syarikat peneraju di kementeriannya, hari ini.

Sebelum ini, Dr Ronald berkata, SSL negara pada ketika ini ialah 70 peratus dan selebihnya iaitu 30 peratus lagi bergantung pada bekalan beras import.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bercakap pada sidang media selepas Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di antara kementerian dan syarikat peneraju di Wisma Tani, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 23 FEBRUARI 2021.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bercakap pada sidang media selepas Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di antara kementerian dan syarikat peneraju di Wisma Tani, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 23 FEBRUARI 2021.

Projek Smart Sawah Berskala Besar (SBB) bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan sasaran program iaitu para pesawah dan menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak atau sewaan melalui satu pengurusan, sekaligus dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil lepas tuai.

Malah ia juga bagi menangani isu ancaman terhadap kemampanan sekuriti makanan ruji dan sara diri negara, menyasarkan peningkatan purata hasil per hektar nasional dan membuka peluang kepada pihak swasta untuk memainkan peranan dalam keseluruhan atau mana-mana peringkat rantaian nilai industri padi dan beras negara pasca pandemik Covid-19.

Jelas Ronald, langkah ini bagi mengelakkan kerajaan membelanjakan RM3 bilion untuk tujuan itu bagi mencapai sasaran 75 peratus SSL menjelang lima tahun akan datang.

“Kalau nak buka kawasan di luar jelapang padi dan kita perlu berikan infrastruktur yang baharu, kita telah mengira dalam keadaan sekarang ini 3.8 atau 4 metrik tan untuk tingkatkan pengeluaran negara daripada 70 kepada 75 peratus, kerajaan harus menyediakan tanah baharu dam RM3 bilion untuk capai matlamat itu.

“Sebab itu kita libatkan pihak swasta dan urus sawah secara efisyen melalui penglibatan swasta dan kita maksimumkan infrastuktur itu yang ada sekarang bagi meningkatkan pengeluaran padi negara,” katanya. – MalaysiaGazette