KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bersama Nissan Motor Asia Pacific Co., Ltd., (NMAP) telah memeterai Memorandum Persefahaman dengan tujuan menjalankan kolaborasi penyelidikan bagi meningkatkan ciri-ciri teknologi maju, khususnya ciri-ciri keselamatan aktif dan
keselamatan pasif dalam kenderaan Nissan.

Kajian kolaborasi ini adalah selari dengan empat teras dalam fasa pertama Protokol Baharu Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) bagi tahun 2021-2025 iaitu Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP), Bantuan Keselamatan (SA) dan Keselamatan Penunggang Motosikal (MS).

MIROS dan NMAP akan bersama-sama mengkaji keberkesanan dan perspektif pemandu terhadap ciri-ciri tersebut di dalam kenderaan Nissan.

Sebagai sebahagian daripada kolaborasi penyelidikan, NMAP menyumbangkan sebanyak RM255,000.00 kepada projek penyelidikan ini yang membolehkan MIROS
memperolehi dua buah kenderaan Nissan, iaitu model Nissan Serena dan Nissan Navara.

Kedua-dua buah kenderaan ini memainkan peranan penting dalam merealisasikan objektif projek dan menyokong penghasilan kenderaan yang lebih selamat di rantau ASEAN.

Kolaborasi penyelidikan antara MIROS dan NMAP ini diharap akan berterusan dan membantu untuk memenuhi keperluan pengguna jalan raya selari dengan teknologi maju seperti yang digariskan di dalam ASEAN NCAP Roadmap 2021-2025 ke arah menghasilkan kenderaan yang lebih selamat bagi pengguna jalan raya.

Nissan Motor Asia Pacific telah ditubuhkan di Bangkok, Thailand pada tahun 2011 sebagai anak syarikat Nissan Motor Co., Ltd., untuk bertindak sebagai ibu pejabat bagi pemasaran dan penjualan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), strategi monozukuri (perolehan, pembuatan dan pengurusan rantaian pembekal), perancangan produk, pengurusan perniagaan dan kawalan kewangan.

Pusat Ujian R&D NMAP bertujuan untuk meningkatkan ujian penilaian fasa pembangunan produk bagi prototaip percubaan. – MalaysiaGazette