Nick Swirad.

KUALA PUMPUR – Pemain kacukan Malaysia-England, Nick Swirad diumumkan secara rasmi sebagai pemain baharu kelab Thai League 2, Nongbua Pitchaya.

Pemain berusia 29 tahun itu muncul pemain ketiga negara yang beraksi dalam Liga Thailand selain Junior Eldstal (Chonburi FC) dan Dominic Tan Jin Jung (Police Tero).

Swirad sebelum ini menyertai pasukan Selangor pada awal musim 2020 namun jarang berada dalam kesebelasan utama skuad kendalian B. Satiananthan dan lebih kerap ‘memanaskan’ bangku simpanan.

Ia juga merupakan peluang keemasan untuk Swirad mendapatkan lebih banyak minit permainan supaya dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya kelak.

Kali terakhir beliau dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad negara ialah pada bulan Mac 2019.

Nongbua kini berada di kedudukan teratas Thai League 2 di mana mereka mendahului dengan kelebihan empat mata dihadapan Khon Kaen United dan masih belum tewas setakat ini selepas mengharungi 23 perlawanan.

Swirad dijangka buat penampilan pertama dalam perlawanan menentang Samut Sakhon pada hari esok dan ini merupakan peluang beliau untuk memikat jurulatih supaya kerap disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Tinggal baki 11 lagi perlawanan, Nongbua Pitchaya masih berpeluang dinobatkan sebagai juara liga sekaligus meraih tiket beraksi dalam saingan Thai League 1 musim depan jika mereka terus konsisten mengutip tiga mata. – MalaysiaGazette