KUALA LUMPUR – Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (PMRMB) merekodkan keuntungan bersih RM42 juta pada suku keempat 2020, meningkat 45 peratus daripada RM29 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun jumlah jualan Petron pada suku keempat 2020 masih rendah berbanding suku yang sama pada tahun 2019 ekoran pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Syarikat ini menjual 6.8 juta tong pada suku tersebut berbanding 9.2 juta tong yang dijual pada tahun sebelumnya. Hasil syarikat menyusut 48% kepada RM1.5 billion daripada RM2.9 billion pada tahun 2019.

Meskipun mencatatkan hasil lebih rendah, keuntungan kasar pada suku terakhir 2020 meningkat sebanyak 40% kepada RM136 juta daripada RM97 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Prestasi ini dipacu oleh peningkatan margin penapisan dan keuntungan inventori bersih hasil daripada pemulihan harga minyak pada suku terakhir 2020.

Penanda aras harga minyak mentah Dated Brent meningkat kepada US$50 setong pada Disember 2020 berbanding purata US$41 pada September, yang mana peningkatan ini didorong oleh jangkaan keberkesanan vaksin Covid-19.

PMRMB meneruskan pelaksanaan penjimataan kos, yang mana berjaya menunjukkan kesan dalam pengurangan pebelanjaan operasi sebanyak 12% atau RM8juta pada suku keempat.

Penjimatan tahunan syarikat mencapai RM31 juta bersamaan 11% penjimatan kos kendalian.

Keputusan positif yang dicatatkan pada dua suku terakhir tahun 2020 membantu mengurangkan kerugian bersih Petron pada tahun itu kepada RM13 juta, sekaligus mengurangkan impak negatif semasa perintah berkurung yang dilaksanakan ekoran pandemik pada separuh tahun pertama.

“Berhadapan dengan pelbagai kekangan, termasuk krisis yang tidak pernah berlaku sebelumnya, telah mendorong kami untuk mengkaji semula pelan dan strategi kami pada tahun 2020.

”Kami sedang beransur pulih daripada impak Covid-19 dan yakin akan bangkit daripada tempoh kesukaran sementara ini, ” kata Ramon S. Ang, Pengerusi PMRMB.

Walaupun persekitaran perniagaan yang mencabar, PMRMB bersama syarikat-syarikat sekumpulan telah membuka stesen baharu, membawa jumlah stesen dalam kumpulan kepada 720 stesen pada tahun 2020.

“Dalam fokus kami untuk mencapai pemulihan kewangan, usaha untuk perluaskan jaringan runcit, peningkatan kemampuan kilang dan kecekapan operasi tetap menjadi keutamaan kami. Kami akan meneruskan usaha dalam memberikan pertumbuhan jangka masa panjang dan nilai terbaik kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami,” tambah Ang. – MalaysiaGazette