KUALA LUMPUR, 23 Feb — Keuntungan bersih Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2020 susut kepada RM1.62 billon daripada RM2.81 bilion yang direkodkan dalam tahun kewangan sebelumnya.

Hasil turun sebanyak 12 peratus kepada RM14.36 bilion berbanding RM16.37 bilion sebelumnya lantaran tindakan efektif kumpulan dalam mengekalkan jumlah penjualan sewaktu kemerosotan pasaran yang diakibatkan oleh pandemik COVID-19 dan didorong oleh susulan pemulihan pasaran pada separuh kedua 2020.

Pendapatan asas sesahamnya berada pada 20 sen berbanding 35 sen.

“Keputusan operasi kumpulan dijangka dipengaruhi terutamanya oleh keadaan ekonomi global, harga produk petrokimia yang mempunyai kolerasi tinggi dengan harga minyak mentah, khususnya bagi segmen olefin dan derivatif, kadar penggunaan kemudahan pengeluaran kami dan pergerakan kadar pertukaran asing.

“Pandemik COVID-19 terus menjejaskan ekonomi global dan PCG juga tidak terkecuali terkena tempiasnya,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Syarikat itu berkata penggunaan kemudahannya bergantung kepada aktiviti penyenggaraan loji dan ketersediaan bahan mentah yang mencukupi serta bekalan utiliti.

Bagaimanapun, kumpulan itu akan meneruskan program kecemerlangan operasinya dan pengurusan hubungan pembekal bagi mengekalkan tahap penggunaan loji di atas paras penanda aras industri.

PCG menjangkakan pemulihan pasaran akan terus menyediakan permintaan stabil terhadap produknya.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Sazali Hamzah dalam satu kenyataan hari ini berkata 2020 merupakan tahun yang amat mencabar.

“Impak daripada kegagalan rundingan OPEC+ dan pandemik COVID-19 telah menyebabkan gangguan rantaian bekalan dan permintaan yang berkurangan sehingga mengakibatkan kemelesetan ekonomi yang serius.

“Walaupun dengan kesukaran persekitaran yang baharu, kami telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan. Kami mengakhiri 2020 dengan kukuh hasil daripada tumpuan tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan operasi dan komersial, didorong oleh momentum pemulihan suku keempat 2020,” katanya.

Sazali berkata pada suku akhir 2020, harga produk petrokimia semakin pulih dengan peningkatan harga minyak mentah serta pertumbuhan permintaan yang didorong oleh prospek ekonomi yang optimis.

Bagi suku keempat berakhir 31 Dis, 2020, keuntungan bersih PCG meningkat kepada RM466 juta berbanding RM340 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya manakala hasil susut kepada RM3.84 bilion daripada RM4.23 bilion.

Sementara itu, syarikat tersebut mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 7 sen setiap saham biasa berjumlah RM560 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020 (2019: dividen interim kedua 7 sen setiap saham biasa).

Dividen itu akan dibayar pada 25 Mac, 2021, kepada pendeposit yang berdaftar dalam rekod pendeposit pada penutup perniagaan pada 11 Mac, 2021. –