logo plus

GEORGE TOWN – Pengendali Jambatan Pulau Pinang, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memberi jaminan bahawa keseluruhan struktur jambatan tersebut masih kukuh dan selamat digunakan semua pengguna jalan raya.

Kenyataan itu dikeluarkan PLUS hari ini susulan insiden kebakaran kabel elektrik Tenaga Nasional Berhad di jambatan semalam.

“Dalam kejadian semalam, api berjaya dipadamkan kira-kira jam 7:30 malam dan tiada kecederaan melibatkan pengguna jambatan dilaporkan.

“Lorong kanan di kedua-dua arah di lokasi kebakaran tersebut kini ditutup selama beberapa hari untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh TNB, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak polis.

“Sehubungan itu orang ramai digalak menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah untuk mengelakkan kesesakan disebabkan oleh penutupan lorong tersebut,” katanya hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, PLUS memberitahu akan terus menyalurkan maklumat trafik terkini menerusi paparan papan tanda elektronik di lokasi strategik di lebuhraya termasuklah menerusi Twitter PLUSTrafik dan saluran media sosial dari masa ke masa.

Orang ramai turut digalakkan untuk memuat turun Aplikasi PLUS secara percuma dan berinteraksi dengan Chatbot pertama lebuhraya iaitu PUTRI untuk mendapatkan maklumat trafik di Jambatan Pulau Pinang. – MalaysiaGazette